EU 'bolot' vaksin selesema burung

Virus tersebut kini menjangkiti haiwan mamalia secara meluas. - Foto Agensi
Virus tersebut kini menjangkiti haiwan mamalia secara meluas. - Foto Agensi
A
A
A

BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) menandatangani kontrak pada Selasa bagi mendapatkan lebih 40 juta dos vaksin pencegahan selesema burung untuk 15 negara dengan penghantaran pertama ke Finland.

Perkara itu dinyatakan jurucakap blok tersebut pada Isnin merujuk kepada perjanjian bersama firma pengeluar vaksin dengan hasil usahasama beberapa agensi di rantau Eropah.

Ia memberi keutamaan kepada mereka yang paling berisiko terdedah kepada virus itu termasuk pekerja ladang ternakan dan veterinar.

Difahamkan, Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Britain juga sedang dalam proses untuk mendapatkan vaksin sama.

“Kami sentiasa mengawasi perkembangan wabak avian influenza. Kami akan memastikan untuk memperoleh akses kepada vaksin tersebut bagi melindungi golongan rentan,” kata Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides.

Langkah siap siaga Eropah mencetuskan kebimbangan jika rantau lain pula sukar mendapatkan bekalan vaksin tersebut jika selesema burung menjadi pandemik baharu yang mengancam dunia.

Virus H5N1 telah merebak ke hampir seluruh negeri AS dan menjejaskan premis ternakan ayam serta itik dan kini semakin menular ke lebih 80 ladang tenusu.

Setakat ini, tiada lagi kes jangkitan antara manusia dilaporkan meskipun tiga pesakit dijangkiti daripada haiwan sejak 1 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Sehingga awal Jun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) mengesahkan tiada kes aktif melibatkan manusia atau haiwan ternakan di rantau tersebut.

Menurut ECDC, penularan dalam kalangan manusia masih jarang berlaku dan risikonya dikatakan kekal rendah. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!