Bursa Malaysia ditutup rendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN ketara kaunter Press Metal dan Telekom Malaysia membantu indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia mengurangkan sebahagian daripada penurunan awalnya di tengah-tengah tekanan jualan dalam saham wajaran tinggi.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 2.88 mata kepada 1,611.49 daripada 1,614.37 ketika ditutup Isnin.

FBM KLCI, yang dibuka 2.63 mata lebih tinggi kepada 1,617.00, mengalami turun naik di antara 1,609.26 dan 1,617.37 sepanjang hari.

Pasaran secara meluas terus bertambah baik, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 797 berbanding 496, manakala 455 kaunter kekal tidak berubah, 652 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan turut meningkat kepada 6.98 bilion unit bernilai RM5.12 bilion berbanding 5.96 bilion unit bernilai RM3.30 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pelabur sedang menumpukan kepada kaunter permodalan kecil dan beralih daripada saham-saham mewah menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada Rabu.

Pandangan konsensus berpendapat Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah yang stabil berikutan data pekerjaan yang kukuh pada Jumaat lalu, dengan tumpuan pada unjuran terbaharu untuk ekonomi dan inflasi.

"Walaupun FBM KLCI ditutup rendah hari ini, saham-saham bermodal kecil kekal kukuh, dengan pembelian ketara dalam sektor pembinaan dan teknologi.

Artikel Berkaitan:

"Kami menyaksikan Indeks Permodalan Kecil FTSE Bursa Malaysia meningkat ke paras 20,000 mata, paras yang tidak pernah dicapai sejak 1997," katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, pelaburan langsung asing yang masuk ke dalam pusat data terus menjana minat belian dalam teknologi dan saham-saham berkaitan dengannya.

"Kami menjangkakan indeks penanda aras akan mengukuh dalam jangka pendek untuk menyerap trend menaik baru-baru ini dan menetapkan peringkat untuk peningkatan selanjutnya.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,610-1,630 untuk baki minggu ini, dengan paras rintangan pada 1,620 dan paras sokongan pada 1,600," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 12 sen kepada RM6.59, Sime Darby turun 10 sen kepada RM2.65, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.08, manakala Nestle jatuh RM2.30 kepada RM124.00.

Sebaliknya, Press Metal naik 16 sen kepada RM5.91 dan TM melonjak 30 sen kepada RM6.59.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle meningkat satu sen kepada 10.5 sen, JCY International naik 13 sen kepada 79.5 sen, SNS Network melonjak 10.5 sen kepada 75.5 sen, YNH Property meningkat 12.5 sen kepada 79.5 sen dan Ekovest naik dua sen kepada 48.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.28 mata kepada 12,373.29, Indeks FBMT 100 naik 10.23 mata kepada 11,939.21, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 53.31 mata kepada 12,715.62, Indeks FBM 70 melonjak 142.84 mata kepada 17,978.41, dan Indeks FBM ACE bertambah 79.84 mata kepada 5,748.93.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 54.77 mata kepada 17,591.38 dan Indeks Perladangan turun 51.52 mata kepada 7,050.76, manakala Indeks Tenaga menokok 7.63 mata kepada 990.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.72 mata kepada 199.74.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.10 bilion unit bernilai RM4.38 bilion daripada 3.96 bilion unit bernilai RM2.82 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 991.98 juta unit bernilai RM116.75 juta daripada 399.07 juta unit bernilai RM46.45 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.88 bilion saham bernilai RM613.17 juta daripada 1.60 bilion saham bernilai RM430.22 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 608.77 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (642.22 juta), pembinaan (555.65 juta), teknologi (581.69 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (117.11 juta), hartanah (911.78 juta), perladangan (29.79 juta), REIT (27.79 juta), dana tertutup (32,000), tenaga (180.85 juta), penjagaan kesihatan (75.39 juta), telekomunikasi dan media (68.87 juta), pengangkutan dan logistik (147.53 juta), utiliti (156.06 juta) dan amanah perniagaan (493,300). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!