Hon Jian, Haikal lulus ujian pertama di Australia
BEREGU muda negara lulus ujian pertama apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia setelah menewaskan lawan masing-masing pada Selasa.
Choong Hon Jian-Muhamad Haikal Nazri yang diletakkan sebagai pilihan ketiga pada kejohanan bertaraf Super 500 itu mudah mengatasi wakil tuan rumah, Jordan Yang-Frederick Zhao 21-9, 21-11 dalam tempoh 25 minit permainan di Sydney Olympic.
Menanti pasangan yang menghuni ranking ke-26 dunia itu dalam perebutan tiket ke suku akhir ialah pemenang antara wakil tuan rumah, Aneesh Nirmal-Emmanuel Stephen Sam atau pasangan, Rajaiun Abhimanyu-Aman Nandal dari India pada Rabu.
Dalam pada itu, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King yang diletakkan selaku pilihan keempat pula hanya mengambil masa 20 minit untuk menyingkir cabaran tuan rumah, Chin Hin Lam-Fu Zi Qiang 21-8, 21-7.
Gandingan negara itu akan berdepan pasangan Australia dan England, Ooi Yi Hern-Steven Stallwood yang mengalahkan pasangan tuan rumah, Philip Halim-Landon Kurniawan 21-11, 21-14.
Kedua-dua pasangan itu dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir, namun dijangka berdepan lawan sukar dalam kelompok empat terbaik.
Jika tiada halangan, Hon Jian-Muhamad Haikal bakal berdepan pilihan utama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada separuh akhir, manakala Arif-Roy King pula akan bertemu beregu berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Hon Jian-Muhamad Haikal yang mara ke suku akhir Terbuka Thailand memburu penamat positif selepas kecundang pada pusingan kedua Malaysia Masters dan pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Arif-Roy King pula sudah pasti mahu meneruskan rentak cemerlang selepas muncul naib juara Sepanyol Masters, suku akhir Terbuka Thailand dan separuh akhir Malaysia Masters.
Turut mara pilihan ketujuh Aaron Tai-Kang Khai Xing yang menyingkirkan cabaran satu lagi wakil Australia, Brendan Wang-Jordan Wang, 21-10, 21-9 dalam masa 19 minit.
Gandingan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong juga mara selepas menewaskan beregu tuan rumah, Timotius Elbert-Tang Huaidong, 21-11, 21-16 dalam masa 23 minit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!