SPRM nafi tohmahan siasatan kes seleweng dana JMC

SPRM
SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tohmahan berkaitan siasatan kes penyelewengan kutipan dana sebuah Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC).

Tohmahan itu dilemparkan peguam dalam satu sidang media yang dianjurkan oleh Lawyers of Liberty (LFL) pada Selasa.

SPRM dalam kenyataan berkata, adalah menjadi tanggungjawab SPRM sebagai agensi penguat kuasa anti rasuah untuk menjelaskan perkara yang sebenar dan menolak tohmahan pihak-pihak yang sedang disiasat.

"Berhubung kes berkenaan, SPRM menerima aduan sekitar akhir Mei lalu daripada penduduk di sebuah kawasan di Damansara bahawa dana kutipan pengurusan dan penyelenggaraan oleh pihak JMC itu dipercayai diseleweng.

"Hasil siasatan awal mendapati ada asas disyaki berlakunya perkara itu berdasarkan laporan berkaitan kos guaman oleh pihak JMC berkenaan yang tidak diisytiharkan sepenuhnya.

"Sehubungan itu, SPRM melancarkan satu operasi pada 4 Jun lalu dan pihak yang disyaki terbabit ditahan serta direman bagi maksud siasatan kerana beliau adalah antara suspek utama," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, fokus siasatan adalah mengikut Akta SPRM 2009 serta pecah amanah dan bukannya untuk mendapatkan maklumat daripada anak guam.

Jelas kenyataan itu, tidak timbul isu pihak penguat kuasa campur tangan atau berniat menghalang hak awam untuk mendapatkan perwakilan undang-undang (interference with the right of the public to legal representation), seperti yang didakwa oleh LFL.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai agensi penguat kuasa, SPRM dikuatkuasakan dengan Akta SPRM 2009, Seksyen 31: Kuasa untuk Memeriksa dan Menggeledah dan Menyita.

"Di bawah seksyen ini, seseorang pegawai SPRM, berdasarkan maklumat bahawa ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki sesuatu kesalahan di bawah akta ini telah berlaku, boleh memasuki atau memecah buka mana-mana premis, mencari, menyita dan mengambil milik apa-apa buku, dokumen, rekod akaun, atau data, dan menahan mana-mana orang yang ditemui dalam premis," katanya.

Tambah kenyataan itu, SPRM berpandangan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang sedang disiasat adalah tidak berasas dan seolah-olah bertujuan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Sebagai agensi penguat kuasa antirasuah utama negara, SPRM tidak akan tunduk kepada sebarang usaha untuk menghalang atau mengganggu siasatan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan," kata kenyataan itu.

Sebelum itu, portal berita tempatan melaporkan Lawyers for Liberty (LFL) menyelar tindakan SPRM menahan dua orang peguam yang mewakili anak guam mereka dalam isu pertikaian harta.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, agensi itu tiada kuasa untuk mengganggu dan menghalang tugas peguam yang mewakili anak guam mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!