PN Pulau Pinang sokong Pas tanding kerusi Sungai Bakap
GEORGE TOWN - Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang tekad akan memberi sokongan penuh kepada parti penyandang iaitu Pas untuk menghantar wakil bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
PN Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, PN Pulau Pinang juga telah melantik wakil daripada Pas sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap selain mengarahkan semua Badan Perhubungan Kawasan Parlimen memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Kita berharap untuk mendapatkan mandat semula pengundi di DUN Sungai Bakap supaya terus menyelia kerajaan melalui PRK ini serta berusaha memperjuangkan dalam penambahbaikan kemudahan asas dalam kawasan DUN Sungai Bakap.
"PN Pulau Pinang juga berharap pengundi di DUN Sungai Bakap dapat menyuarakan tentangan mereka terhadap kerajaan negeri serta kerajaan Pusat berhubung tarif air yang melambung tinggi serta isu kenaikan harga diesel," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, calon bagi PRK DUN Sungai Bakap akan ditentukan dan diumumkan oleh Majlis Tertinggi PN nanti.
Kerusi Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.
Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!