Lelaki maut ketika cuci paip dalam kolam gentian kertas

Mangsa berusia 41 tahun ditemui meninggal dunia di tempat kejadian. Foto hiasan
Mangsa berusia 41 tahun ditemui meninggal dunia di tempat kejadian. Foto hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pekerja warga tempatan maut ketika menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat di dalam kolam gentian kertas di sebuah kilang pada Isnin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, lelaki berusia 41 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mangsa telah turun berseorangan ke dalam kolam untuk menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat di dalam kolam yang telah tertangguh hampir dua minggu.

"Mangsa dilaporkan tidak dapat dikesan dan penyelia bersama beberapa pekerja berusaha mencari mangsa.

"Hasil rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa telah masuk ke dalam kolam pada jam 3.38 petang. Mangsa telah ditemui pada jam 10.40 malam, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan daripada kejadian itu, JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja serta-merta kepada kilang tersebut sehingga siasatan selesai.

"Pihak Jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenalpasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan selain membuat pembentangan kes kepada Jabatan.

"Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan serta merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, JKKP Pulau Pinang juga akan mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

"Di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja, orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!