Naikkan had usia pencen secara berkala
SHAH ALAM - Had persaraan di Malaysia wajar dinaikkan secara berkala sehingga mencecah sekurang-kurangnya 65 tahun selari dengan definisi warga emas di bawah takrifan antarabangsa.
Langkah itu sekali gus mampu menjadi salah satu kaedah terbaik dalam meningkatkan dana persaraan menerusi simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff berkata, secara realitinya, penangguhan pengeluaran simpanan KWSP akan melipatgandakan simpanan sedia ada pada masa hadapan.
Tambahan pula menurutnya, had usia persaraan melebihi 60 tahun telah diamalkan di kebanyakan negara termasuk di Singapura.
"Lebih baik jika dapat naikkan usia persaraan secara berkala. Di Indonesia mereka akan naikkan (had pencen) daripada 56 atau 57 tahun sekarang, setiap tiga tahun, usia persaraan akan dinaikkan setahun sampai mencapai 65 tahun.
"Di kebanyakan negara seperti Turkiye yang status pembangunannya sama dengan Malaysia, (had usia persaraan) dalam 62 hingga 63 tahun.
"Di Singapura, had persaraan juga 65 tahun, mereka akan sambung perkhidmatan sampai 67 tahun sebab syarikat perlu tawarkan kepada pekerja sama ada nak sambung (perkhidmatan) atau tak. Tapi kapasitinya berbeza, mungkin sebagai mentor, atau kapasiti yang dia mampu buat secara separuh masa atau sebagainya.
"Jadi kita (Malaysia) perlu lihat ini satu realiti... sebab daripada segi KWSP, kalau pengeluaran ditangguh lima tahun, simpanan naik 40 peratus tanpa sebarang caruman baharu, tangguh 10 tahun, simpanan naik 10 peratus... jadi kalau kita tangguhkan, memang kita boleh kumpulan lebih banyak simpanan untuk menangani realiti penuaan yang semakin panjang untuk generasi sekarang," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Siri 443 bertajuk ‘Bersara Tapi Sengsara’ berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Program dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Dr Rahimah Ibrahim dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse sebagai panelis.
Dalam pada itu, Balqais menjelaskan, keputusan penstrukturan semula akaun KWSP yang meningkatkan caruman akaun persaraan kepada 75 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, memberi nilai tambah kepada jumlah simpanan masa depan pencarum.
"Bila kita lakukan sedemikian, sudah tentu duit persaraan akan meningkat...dulu akaun dua (akaun sejahtera) mereka akan keluarkan pada umur 50, jadi tak ada (simpanan) bila dia bersara sebab dah bawa keluar.
"Orang rasa bila kita beri kebenaran untuk keluarkan, ia akan kurangkan dana, tapi untuk jangka panjang, ia akan meningkatkan simpanan persaraan," katanya.
Pada masa sama juga, beliau berkata, daripada sudut sains tingkah laku, kelonggaran pengeluaran KWSP menerusi Akaun Fleksibel dan Akaun Sejahtera membolehkan pencarum merancangkan kewangan masa depan dengan lebih baik.
"Kita bagi sedikit hari ini, supaya pencarum boleh kata, 'saya dah rasa selesa dan saya boleh fikir untuk hari esok'.
"Sains tingkah laku menunjukkan, kalau kita dapat selesaikan masalah kita pada hari ini, barulah kita mula memikirkan jangka masa sederhana, jangka masa panjang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!