Harimau Malaya tundukkan Taiwan 3-1
IMPIAN Harimau Malaya untuk mara ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mendapat tiket awal ke Piala Asia 2027 bagaikan sudah terkubur walaupun berjaya menang 3-1 ke atas Taiwan dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Kegagalan mencari jaringan besar menyaksikan skuad negara gagal mengatasi defisit gol pasukan di kedudukan kedua Kumpulan D, Kyrgyzstan.
Selain itu, agak mustahil untuk mengharapkan Oman berjaya menewaskan Kyrgyzstan dengan jaringan besar tanpa balas dalam satu lagi aksi yang akan berlangsung di Muscat pada 12 tengah malam nanti.
Dalam perlawanan itu, skuad negara yang terdesak mencari gol cuba menggerakan serangan seawal wisel permulaan ditiupkan, namun ketiadaan hantaran akhir yang berkualiti menyaksikan bola tidak dapat menembusi kotak penalti Taiwan.
Sikap agresif Harimau Malaya mencari gol hampir dihukum Taiwan yang mendapat peluang keemasan menerusi percubaan Koume Ange Samuel pada minit kesembilan namun tersasar ke sebelah kanan gawang pasukan negara.
Peluang gol skuad negara hanya muncul pada minit ke-18 menerusi tendangan Safawi Rasid daripada luar kotak penalti yang sedikit tersasar.
Taiwan mendiamkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan Yu Yao-hsing pada minit ke-20 selepas bijak melarikan bola dan menewaskan Azri Ghani.
Beberapa peluang juga berjaya diperolehi skuad negara menerusi Safawi sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan namun gagal disudahkan dengan baik.
Bersambung separuh masa kedua, skuad negara berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi rembatan Safawi yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Taiwan, Pan Wen-Chieh sebelum bola melantun masuk.
Harimau Malaya menambah jaringan kedua menerusi Paulo Josue pada minit ke-69 selepas tenang menyempurnakan hantaran Corbin Ong.
Pemain gantian, Muhammad Adib Raop menutup perlawanan dengan gol ketiga skuad negara selepas merampas bola daripada pertahanan lawan sebelum menewaskan Wen-Chieh pada penghujung perlawanan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!