Jangan hadkan sumbangan warga emas dalam sektor pekerjaan
SHAH ALAM - Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Dr Rahimah Ibrahim berpandangan umur persaraan di negara ini tidak sepatutnya dihadkan selagi seseorang individu mempunyai keupayaan menyumbang dalam sektor pekerjaan mereka.
Menurutnya, warga emas tidak sepatutnya dilihat dalam aspek kebajikan semata-mata sebaliknya ruang perlu diberikan untuk golongan itu terus menyumbang kepada masyarakat, sekali gus memberi jaminan kelangsungan pendapatan untuk meneruskan kehidupan.
"Pada masa ini, sebanyak 25 peratus warga emas masih menyumbang kepada masyarakat... jadi jangan lihat warga emas dalam persepsi kebajikan sahaja kerana mereka juga menyumbang dalam sektor pekerjaan dan dalam keluarga.
"Kita juga sepatutnya tidak hadkan umur persaraan, kalau warga emas mampu menyumbang, masih produktif dan ada semangat (untuk bekerja) kenapa perlu hadkan? Kita mesti ikut pada kefungsian mereka.
"Jika mereka yang aktif ini tidak lagi aktif, (khuatir) akan menyumbang kepada masalah lain dan menjadi pembaziran tenaga buruh. Kita galakkan wanita (bekerja) tapi kenapa kita hadkan sumbangan warga emas?" soalnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Siri 443 bertajuk ‘Bersara Tapi Sengsara’ berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse sebagai panelis.
Dalam pada itu, Rahimah berkata, pendidikan kewangan bagi menghadapi usia persaraan perlu diperkenalkan seawal mungkin sebagai jaminan kewangan usia senja.
Katanya, rakyat perlu sedar mengenai kos-kos perbelanjaan yang diperlukan, melebihi keperluan asas semata-mata.
"Sumber kewangan perlu ambil kira keperluan waktu senggang, aspek penjagaan jangka panjang, kerana ramai tak sedar tentang kos-kos yang perlu mereka bayar.
"Kos bulanan untuk hidup bagi setiap warga emas lelaki adalah RM2,116 dan RM1,711 bagi warga emas wanita," katanya.
Beliau juga menegaskan penting untuk kerajaan melihat semula struktur jaringan keselamatan sosial dengan memastikan liputannya diperluaskan demi membantu pelbagai golongan daripada pelbagai umur untuk menjalani kehidupan lebih baik pada masa depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!