Wajar kaji skim pencen, tumpu kelebihan KWSP
SHAH ALAM - Semakan semula terhadap skim pencen bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) wajar dilaksanakan dengan memberi perhatian terhadap kelebihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurutnya, tindakan kerajaan untuk melakukan kajian menyeluruh mengenai sistem reformasi skim pencen adalah tepat demi sasaran mengurangkan defisit fiskal antara tiga hingga 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.
"Tindakan mengkaji semula skim pencen adalah betul dan wajar sebab kita kena faham daripada statistik, untuk tahun ini sahaja tanggungan kerajaan untuk pencen mencecah RM32 bilion... sehingga tahun 2040, angka itu akan mencatat RM120 bilion iaitu satu per tiga daripada KDNK negara sekarang.
"Jadi adalah wajar dan menjadi satu keperluan untuk sekurang-kurangnya untuk kita buat satu semakan atau kajian adakah skim pencen ini masih mampan untuk masa depan negara.
"Buat masa kini, saya rasa bagi saya secara peribadi, kita beri lebih banyak perhatian kepada kebaikan KWSP kerana ia sangat penting pada rakyat Malaysia, mengambil contoh situasi ketika Covid-19 melanda.
"Sebanyak RM45 bilion keluar daripada KWSP dan ini bukan sahaja akan menjadi isu masa depan seorang pencarum, tapi memberi impak kepada ekonomi sebab bila duit KWSP tak boleh melabur, maknanya ia akan memberi kesan kepada dividen yang diperoleh pencarum," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Siri 443 bertajuk ‘Bersara Tapi Sengsara’ berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Program dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff dan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Dr Rahimah Ibrahim sebagai panelis.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu memperkasakan penguatkuasaan terhadap isu majikan yang tidak melindungi pekerja menerusi caruman KWSP dengan mengkaji semula akta berkaitan secara menyeluruh.
"Kerajaan perlu beri amaran pastikan kes-kes seperti ini selesai dan adil kepada pekerja. Kesedaran perlu diberikan agar golongan pekerja di Malaysia dilindungi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!