Harimau Malaya ke Piala Dunia 2026 hampir mustahil

Reaksi kecewa pemain negara, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
Reaksi kecewa pemain negara, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama
A
A
A

MISI Malaysia mara lebih jauh dalam kempen kelayakan Piala Dunia hampir mustahil walaupun menundukkan Taiwan 3-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di sini, malam ini.

Ia selepas skuad Harimau Malaya perlu mengharapkan Oman membelasah Kyrgyzstan pada satu lagi aksi kumpulan di Muscat yang dijadual berlangsung 12 tengah malam ini waktu Malaysia.

Oman sekurang-kurangnya perlu mencatat kemenangan 7-0 untuk membolehkan Malaysia memintas Kyrgyzstan di tempat kedua berdasarkan jumlah perbezaan jaringan sekali gus mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun, sekiranya skrip berbeza, keputusan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini turut memadam impian Malaysia layak lebih awal ke Piala Asia 2027 sekali gus terpaksa menempuh pusingan ketiga kelayakan pertandingan itu dalam usaha membuat penampilan kedua berturut-turut.

Turun dengan misi meraih kemenangan besar, keghairahan Malaysia memburu gol awal membawa padah apabila Taiwan yang hanya menunggu peluang untuk membuat serangan balas pantas berjaya merobek gawang negara menerusi penyerang Yu Yao-Hsing untuk mendahului pada minit ke-20.

Gol itu berpunca kesilapan Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengeluarkan bola di kawasan sendiri, menyaksikan ia menjunam tepat ke arah Kouame untuk beliau melorongkan bola kepada Yao-Hsing yang tidak ofsaid dan tenang melepasan rembatan menewaskan Muhammad Azri Abdul Ghani.

Walaupun tersentak dengan gol pembukaan Taiwan, Malaysia kemudian mensia-siakan lambakan peluang terhidang yang menyaksikan beberapa percubaan daripada Muhammad Safawi dan Muhammad Akhyar masing-masing gagal menemui sasaran selain diselamatkan penjaga gol lawan Pan Wen-Chieh.

Ketika Malaysia giat memburu gol penyamaan, Taiwan melancarkan serangan balas pantas yang menyaksikan Muhamamd Azri bekerja keras membuat tampanan penting ketika menyelamatkan dua percubaan berturut-turut Emilio Estevez pada minit ke-29.

Artikel Berkaitan:

Pasukan negara terus kempunan dalam usaha pemburuan gol selepas Muhammad Akhyar yang menerima hantaran Muhammad Safawi gagal menewaskan Wen-Chieh dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-41 sekali gus kedudukan 1-0 berpihak Taiwan kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Malaysia yang mengekalkan corak permainan agresif dan menyerang berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Safawi dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap kemas Wen-Chieh sebelum bola melepasi garisan gol pada minit ke-53.

Pasukan negara menggandakan kedudukan selepas pemain tengah naturalisasi Paulo Josue menyempurnakan hantaran La’vere Corbin-Ong berpunca gerak dari sebelah kiri pada minit ke-69.

Pemain gantian Muhammad Adib Abdul Ra’op menjadikan kedudukan 3-1 pada penghujung perlawanan selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan pada masa kecederaan separuh masa kedua sekali gus meraih gol sulung di pentas antarabangsa dalam penampilan keduanya.

Malaysia kini berada di tempat ketiga, berkongsi 10 mata dengan Kyrgyzstan (kedua) dan hanya dipisahkan dengan perbezaan gol sementara Oman yang mendahului kumpulan dengan 12 mata sudah melayakkan diri lebih awal manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Kekalahan malam ini menyaksikan Taiwan di ranking dunia ke-159 terus kempunan menemui kemenangan pertama dalam kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!