Tempahan merosot hingga 40 peratus
SHAH ALAM - Penternak dan pembekal haiwan ternakan di beberapa negeri gusar permintaan terhadap lembu, kerbau dan kambing tempatan untuk ibadah korban tahun ini turun mendadak ketika sambutan Hari Raya Aidiladha tinggal lima hari sahaja lagi.
Jurucakap Persatuan Jurusuntik Permanian Beradas Kelantan, Naharizan Abdul Rahim berkata, pada tahun ini tempahan lembu berkurang sebanyak 40 peratus di negeri itu berbanding 2023.
Menurutnya, penternak di Kelantan setakat ini hanya dapat menjual sebanyak 1,780 ekor lembu sahaja berbanding 2,800 ekor tahun lalu.
“Itu jumlah lembu korban yang dapat dijual di seluruh Kelantan. Saya agak terkejut dengan angka tersebut walaupun ternakan itu dijual lebih murah sekitar RM4,000 ke RM4,300 seekor.
“Tahun lalu, lembu korban dijual pada harga RM4,500. Pengurangan harga sebanyak RM200 itu dilakukan kerana permintaan kurang daripada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.
Naharizan memberitahu, orang ramai memiliki tanggapan bahawa lembu kini dijual pada harga yang tinggi ekoran kos ternakan yang meningkat.
Katanya, memang benar kos naik, namun harga jualan lembu juga dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran.
“Kalau permintaan rendah dan penawaran tinggi, maka penternak perlu menjual pada harga yang rendah untuk menarik orang ramai membelinya. Walaupun dijual pada harga rendah sedikit, kami masih beroleh keuntungan,” ujarnya.
Penyelaras Penternak Lembu Hibrid Sado Selangor, Shawalrudin Nawawi pula berkata, lembu hibrid sado bagi ibadah korban masih mendapat permintaan namun tidak banyak seperti tahun-tahun sebelum ini. “Setakat Selasa (semalam), lembu hibrid sado di Selangor hanya dapat dijual kurang daripada 20 ekor yang beratnya dalam 500 kilogram (kg) ke 800kg,” katanya.
Shawalrudin berkata, lembu sado dijual bermula dari harga RM10,000 hingga RM16,500 dan boleh mencecah RM20,000 jika berat lembu mencecah satu tan.
Shawal memaklumkan, kebanyakan penternak lembu sado turut menjual lembu biasa kerana mahu bertahan lama.
“Ingin saya kongsikan bahawa mereka (penternak) turut berhadapan dengan kemerosotan jualan lembu biasa tempatan bagi ibadah korban kali ini,” ujarnya.
Di TEMERLOH, penternak lembu di Kampung Paya Keladan, Mohd Faizal Said, 42, berkata, permintaan terhadap lembu korban tahun ini adalah lebih teruk berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19 dahulu.
“Permintaan menurun lebih 40 peratus iaitu hanya 45 ekor lembu yang ditempah berbanding 73 ekor tahun lalu.
“Sejak bergelar penternak pada 2018, tahun ini paling terjejas. Untuk tempahan ikut bahagian pun turut menurun, enam ekor berbanding 11 ekor tahun lalu. Saya sudah jangka situasi kali ini berikutan lambakan lembu seludup dari Thailand yang lebih murah selain faktor ekonomi rakyat,” katanya.
Ujarnya, tahun ini juga dia tidak mendapat permintaan daripada warga asing seperti Bangladesh yang sebelum ini setiap tahun membuat korban.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!