Anak-beranak kumpul duit setiap bulan buat korban
SEREMBAN - Meskipun berlaku kenaikan kadar bayaran untuk penyertaan ibadah korban tahun ini, namun ia tidak menghalang sesetengah individu mengambil bahagian menjalankan ibadah berkenaan.
Seorang penjawat awam, Hasanol Bolkiah Zainal, 42, berkata, kaedah mengumpul duit setiap bulan sesama ahli keluarga telah dipraktikkan sejak lapan tahun lalu bagi memberi galakan kepada isteri dan anak-anak menyertai ibadah itu setiap tahun.
“Sejak tahun 2015 saya didik keluarga sama-sama kumpul duit untuk buat ibadah korban kerana ia amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan juga saham akhirat kami.
“Saya ada lima anak berusia antara tiga hingga 18 tahun. Yang dah besar ini saya didik mereka menabung setiap bulan maksimum RM200 khusus untuk tujuan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, dia mengakui yang kenaikan harga lembu korban tahun ini agak tinggi apabila penyertaan untuk satu bahagian dikenakan RM850 berbanding sebelum ini antara RM700 hingga RM750.
Ujarnya, kebanyakan golongan muda tidak memahami erti di sebalik ibadah korban dilaksanakan dan sekadar mengetahui ia amalan biasa setiap kali Hari Raya Aidiladha.
Oleh sebab itu katanya, penting untuk ibu bapa memberi kefahaman kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Sementara itu, Muhammad Jantan, 29, yang bekerja sendiri berkata, walaupun berlaku kenaikan harga namun ia tidak menghalang hasrat dirinya dan isteri untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini.
Katanya, memandangkan ia merupakan ibadah sunat yang dituntut dalam agama, maka tidak perlu berkira memandangkan kenaikan harga lembu tidak dapat dielakkan.
“Saya terlibat dengan korban ini sejak usia 17 tahun lagi dan pada tahun 2013, paling murah seekor lembu korban dijual RM3,800 seekor.
“Tahun lalu di Melaka, lembu kampung biasa harga seekor sekitar RM5,300 hingga RM5,500, dan tahun ini meningkat kepada RM5,800 seekor,” katanya yang menetap di Bukit Rambai, Melaka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!