AS dan Britain 'bergabung' dengan Israel?
GENTING GAZA - Butiran terbaharu telah membongkar penglibatan Amerika Syarikat (AS) dan Britain dalam kempen pembunuhan ke atas sekurang-kurangnya 274 penduduk Palestin di kem pelarian Nuseirat di tengah Genting Gaza pada Sabtu lalu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh media di Washington.
Memetik beberapa laporan, portal Cradle pada Isnin mendakwa maklumat diberikan The New York Times (NYT) dan akhbar Israel, Ynet memperincikan tentang kerjasama risikan rejim Zionis bersama AS dan Britain.
Pegawai tentera dan unit risikan kedua-dua sekutu kuat itu dikatakan menubuhkan 'sel gabungan' untuk bekerjasama serta berkongsi dron dan gambar satelit serta maklumat lain untuk mengenal pasti lokasi tawanan di Gaza.
“Operasi ganas itu kemudiannya dilancarkan apabila kedudukan mereka berjaya dikesan. Ketika ofensif itu dilancarkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bertindak melancarkan kempen pengeboman berskala besar yang menyasarkan kawasan penduduk Palestin berlindung selain penempatan orang awam sedangkan ia bukan lokasi yang menempatkan tawanan,” dedah laporan itu lagi.
Bekas Ketua Divisyen Tahanan dan Orang Hilang di unit risikan IDF, Avi Kalo mengakui tindakan terburu-buru untuk membebaskan empat tawanan itu tidak akan mengubah aspek strategik.
“Masih terdapat lagi baki tawanan di Gaza yang hanya boleh dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata,” ujarnya.
Menurut laporan NYT, seramai 43 daripada 253 tawanan telah terbunuh di Genting Gaza akibat bedilan menggila IDF manakala Hamas memaklumkan tiga lagi maut ketika ofensif ganas pada akhir minggu lalu.
Pentagon cuba tepis dakwaan
Pentagon turut cuba menepis 'dakwaan palsu' di media sosial yang mengaitkan pembabitan mereka dalam operasi menyelamat tawanan sekutunya.
Hal itu merujuk kepada penggunaan jeti terapung dibina AS di luar pantai Gaza yang didakwa telah digunakan untuk ofensif tersebut.
Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral, Patrick Ryder bagaimanapun mengakui ada helikopter milik IDF yang berlegar-legar berhampiran platform itu yang tujuan utamanya adalah untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan dari laluan maritim ke enklaf tersebut.
“Ia mungkin secara kebetulan, helikopter berkenaan berada dekat dengan jeti terapung itu. Sekali lagi saya mahu tekankan bahawa, kesemua anggota kami yang menyokong usaha kemanusiaan tiada kaitan dengan operasi IDF,” katanya setelah tujuan sebenar pembinaan platform itu mula mencetuskan tanda tanya dan mungkin hanya untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa.
Ryder menjelaskan tentera AS berusaha menolak segala tuduhan tidak tepat yang tersebar di media sosial tentang jeti terapung sementara itu yang baru-baru ini separa rosak akibat dipukul gelombang kuat di perairan berkenaan.
Pentagon seakan-akan cuba menyembunyikan kebenaran setelah platform itu dikatakan kembali beroperasi pada hari sama ofensif ganas itu dilancarkan.
Perang Gaza yang memasuki bulan kesembilan menyaksikan kempen pengeboman dari pelbagai arah semakin diperhebatkan di wilayah terkepung itu dan meragut lebih 37,100 nyawa. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!