Buktikan penyasaran subsidi berbaloi untuk rakyat
ISU paling hangat pada minggu ini ialah mengenai penyasaran subsidi diesel. Di mana-mana sahaja termasuk kedai kopi, pasti ada yang membuka topik perbualan mengenai isu ini.
Mengapa ramai yang mengeluh? Sedangkan ramai yang tidak bersetuju dengan penyasaran ini adalah mereka yang tidak memiliki kenderaan menggunakan diesel.
Sebelum menjawab kepada persoalan itu, kita lihat asas pelaksanaan subsidi bersasar ini. Ia merupakan antara langkah pembaharuan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani, antaranya untuk menangani ketirisan serius dalam sistem.
Malaysia dilaporkan kerugian RM4.5 juta setiap hari akibat ketirisan 3 juta liter diesel yang seludup ke luar negara.
Bayangkan, berapa banyaknya wang dibazirkan begitu sahaja, sedangkan ia boleh digunakan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan, pengangkutan awam dan kesihatan.
Kerajaan sedar masalah yang semakin meruncing ini, lantas satu tindakan perlu dibuat untuk memastikan subsidi benar-benar sampai kepada yang layak.
Sudah tentu sesuatu yang sukar kerana kita sudah terbiasa dengan pelbagai subsidi. Bila sudah diberi, susah hendak diambil balik.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak ada pilihan demi menyelamatkan negara.
Walaupun itu bukan keputusan popular, bahkan berisiko kepada Kerajaan Perpaduan yang bakal berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, ia perlu diteruskan secepat mungkin untuk menjimatkan RM4 bilion wang negara setahun.
Sudah tentu, pelbagai aspek telah diteliti sebelum kerajaan membuat keputusan tersebut, termasuk bersedia untuk dihentam.
Berbalik kepada persoalan, sebenarnya kebimbangan rakyat bukan terletak pada kadar harga diesel yang melonjak daripada RM2.15 kepada RM3.35 sahaja, tetapi yang lebih besar ialah rantaian kesan akibat pelaksanaannya kelak.
Realitinya, kita tidak akan dapat lari daripada isu peniaga menaikkan harga barang atau perkhidmatan dengan alasan ‘harga minyak sudah naik’.
Suka tak suka, rakyat kena menerima hakikat penyasaran subsidi diesel adalah muktamad dan kerajaan tidak akan menoleh ke belakang lagi.
Cuma kita mengharapkan agar kerajaan menambah baik manfaat dan bantuan-bantuan dari masa ke masa supaya rakyat dapat merasakan bahawa ‘pengorbanan’ mereka tidak lagi menikmati subsidi adalah berbaloi.
Namun, sudah tentu ia memakan masa dan rakyat perlu bersabar.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!