Kembalikan nostalgia kampung dulu-dulu

Dataran Kompleks Karangkraf di sini bakal berubah wajah dengan suasana kampung pada zaman dahulu sempena penganjuran Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung tiga hari pada 26 hingga 28 Julai ini. Gambar kecil: Zamri
Dataran Kompleks Karangkraf di sini bakal berubah wajah dengan suasana kampung pada zaman dahulu sempena penganjuran Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung tiga hari pada 26 hingga 28 Julai ini. Gambar kecil: Zamri
A
A
A

SHAH ALAM - Dataran Kompleks Karangkraf di sini bakal berubah wajah dengan suasana kampung pada zaman dahulu sempena penganjuran Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung tiga hari pada 26 hingga 28 Julai ini.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, ia merupakan karnival mega kedua anjuran Sinar Karangkraf selepas Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang dianjurkan tahun lalu berjaya merekodkan kehadiran pengunjung hampir mencecah 100,000 orang.

Menurutnya, sesuai dengan tema karnival rakyat, pada tahun ini pengunjung berpeluang menggamit semula nostalgia menerusi pelbagai aktiviti disediakan khususnya pertandingan permainan tradisional dan sukan kampung.

“Pengunjung boleh mengembalikan nostalgia kampung dulu-dulu dengan permainan seperti tuju tin, tating lawi, terompah gergasi, lompat guni, susun bata dan gelung berantai.

“Tidak cukup dengan itu Karnival Rakyat Karangkraf juga dimeriahkan dengan pertandingan dikir barat, tarian, busker rock kapak, motor show, motor siput dan fiesta kucing.

“Yang pasti, Dataran Kompleks Karangkraf akan berubah wajah dengan bertema suasana karnival rakyat dan kampung bagi membangkitkan nostalgia pengunjung. Kita juga menggalakkan pengunjung hadir dengan pakaian tema karnival rakyat kerana kita menyediakan hadiah menarik,” katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf dianjurkan sempena memperingati ulang tahun ke-18 Sinar Harian.

Tujuan utama penganjuran karnival ini adalah untuk meraikan keunikan warisan budaya Malaysia dan memberikan penghormatan kepada pembaca Sinar Harian yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan.

Artikel Berkaitan:

Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival ini mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, karnival tersebut juga bakal menghimpunkan semua produk di bawah bumbung Sinar Karangkraf menerusi reruai yang disediakan.

“Di reruai Sinar Harian dan Sinar Daily, pengunjung berpeluang menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk telefon bimbit serta barangan keperluan harian.

“Tidak ketinggalan pengunjung boleh merasai pengalaman menjadi editor dengan bergambar dan memilih tajuk muka depan Sinar Harian yang mereka ingini,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, pelbagai permainan menyeronokkan juga bakal menanti pengunjung di reruai Sinar Plus dan Sinar Bestari.

“Paling ditunggu-tunggu ialah Pertandingan Mencari Siti yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang,” katanya.

INFO

- Karnival Rakyat Karangkraf akan berlangsung tiga hari pada 26 hingga 28 Julai ini.

- Dimeriahkan dengan pertandingan dikir barat, tarian, busker rock kapak, motor show, motor siput dan fiesta kucing.

- Pertandingan Mencari Siti pula menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!