Harga sewa bot candat sotong mungkin naik tahun depan - Pemilik bot
KUALA TERENGGANU - Rata-rata pengusaha yang menyediakan perkhidmatan sewa bot bagi aktiviti mencandat sotong akan mempertimbangkan untuk kenaikan harga pada tahun depan.
Pemilik bot, Azizi Azrin Mahadi, 35, berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengimbangi kos yang dikeluarkan berikutan kenaikan harga bagi alatan ganti pengangkutan itu.
Menurutnya, kenaikan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter yang berkuat kuasa bermula Isnin tidak menjejaskan operasi sewa bot yang ditawarkan kepada pelanggan kerana mereka masih menerima subsidi diesel oleh kerajaan.
"Kita golongan nelayan yang turun ke laut ini tidak begitu terasa dengan kenaikan harga diesel yang berkuat kuasa semalam kerana masih lagi bergantung kepada subsidi diesel yang disediakan kerajaan.
"Bagaimanapun, kita masih berdepan dengan risiko kenaikan harga alat ganti bot serta beberapa peralatan lain yang berkaitan termasuk penggunaan minyak petrol yang untuk hidupkan generator lampu.
"Mungkin tahun depan kita juga terpaksa juga memikirkan juga untuk menaikkan harga baharu yang tidak akan membebankan pelanggan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Menurutnya, setakat ini harga semasa bagi sebuah bot mencandat sotong yang boleh memuatkan seramai 10 orang sekitar RM1,500 untuk satu perjalanan.
"Tahun lepas harga bagi bot untuk saiz yang sama lebih rendah iaitu sekitar RM1,200 dan RM1,300, namun tahun ni ada kenaikan sikit kepada RM1,500.
"Kenaikan harga itu disebabkan harga barang-barang seperti kayu yang semakin mahal di samping alatan enjin dan peralatan lain yang turut meningkat.
"Harga petrol yang kita gunakan untuk hidupkan generator juga naik. Jadi ada perbandingan dari segi kenaikan harga tahun lepas dan tahun ini," katanya.
Sementara itu, pengusaha bot candat, Norsuriana Mat Noor, 36, berkata, mereka juga akan mempertimbangkan kenaikan harga sewa bot itu pada tahun depan.
"Kenaikan harga diesel tidak begitu dirasai pengusaha bot di sini kerana kita mendapat subsidi diesel oleh kerajaan walaupun proses untuk mendapatkannya agak rumit.
"Tahun ni harga sewa bot kita masih sama sebab musim mencandat sotong pun sudah berada di penghujung.
"Hasil sotong segar juga sudah tidak begitu meriah berbanding ketika bulan April dan Mei lalu," katanya yang menyewakan bot untuk aktiviti mencandat sekitar perairan Kuala Terengganu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!