Permintaan kambing tempatan merosot
TAIPING - Lambakan kambing import yang dijual murah di pasaran menyebabkan permintaan terhadap ternakan tempatan untuk dijadikan haiwan korban sempena Aidiladha merosot.
Penternak, Zuriati Mohd Zabidi, 56, berkata, penurunan ketara itu dapat dilihat apabila syarikatnya hanya menerima tempahan sebanyak lima ekor kambing berbanding 30 ekor tahun lalu.
“Keadaan ini berbeza berbanding tahun 2021 dan 2022 apabila jualan kambing mencatatkan antara 40 hingga 50 ekor untuk ibadah korban.
“Harga jualan tempatan sekitar RM850 hingga RM1,500 seekor mengikut baka kerana kita menjaga kualiti dan mengikut garis panduan ditetapkan untuk dijual.
“Berbeza dengan kambing import, ia dijual jauh lebih murah pada harga RM350 seekor yang dipercayai sudah berusia dan tidak ditentukan kesihatannya,” katanya.
Menurut anak jati Pondok Tanjung ini, pilihan pelanggan menjalani ibadah korban menerusi aplikasi dalam talian atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan program di luar negara turut menyumbang kemerosotan penjualan kambing tempatan.
“Saban tahun pembelian kambing tempatan semakin berkurangan. Kita tidak salahkan pelanggan kerana mereka ada pilihan yang mesra poket.
“Bukan saya seorang sahaja mengalami kekurangan tempahan untuk membuat korban malah rakan-rakan saya di tempat lain turut terkesan,” katanya.
Zuriati yang mengusahakan ternakan kambing baka Boer dan Kalahari sejak 2008 kini bekerjasama dengan pengusaha katering dan menghasilkan produk sejuk beku kambing perap untuk terus bertahan dalam industri ternakan tempatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!