Kerakusan BEM ancam populasi ikan tempatan
HUJUNG bulan lalu, bidang akuakultur negara dikejutkan dengan kolam ternakan ikan kelisa pecah di kawasan Renggam, Kluang, Johor yang menyebabkan orang ramai berpesta menangkap ikan itu.
Ada yang menjala, menggunakan sauk bahkan guna tangan sahaja kerana ikan hiasan bernilai tinggi itu ada di dalam parit dan juga longkang. Sebahagian lagi dipercayai sudah memasuki sungai yang ada di situ.
Di sebalik kisah itu, ada berapa kes kolam dan sangkar ikan pecah yang tidak dihebohkan kepada umum.
Lebih mengharukan, ikan yang terlepas itu spesies invasif yang rakus seperti baung ekor merah (BEM), Amazon red tail dan patin Chao Phraya. Tiga spesies karnivor ini sudah lama dikesan berada di beberapa sungai utama.
BEM atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides kini telah bermaharajalela di Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Perak, Sungai Kinta, Sungai Selangor dan Sungai Bernam sehingga memeningkan pihak Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Malah, ia juga dikesan ada di Sungai Muar, Johor.
Sebab apa BEM yang berasal dari Sungai Mekong, Vietnam ini dianggap perosak utama sungai di Malaysia?
Ikan yang mempunyai warna merah pada sirip dan ekor ini mempunyai kadar tumbesaran yang pantas dan amat mudah membiak.
Kerana naluri pemburu dan ia pula hampir tiada musuh daripada ikan lain, kecuali buaya menyebabkan ia pantas membesar lalu menjadi ikan gergasi.
Menurut rekod di tempat asalnya, BEM mampu membesar sehingga 80 kilogram (kg)!
Ia sangat rakus dan agresif dengan melahap apa sahaja termasuk anak ikan, ketam, kijing, pelbagai jenis serangga serta udang galah.
Di setiap sarang, BEM ini hidup secara berpasangan dan ia membiak sepanjang tahun. BEM dikategorikan sebagai ikan air tawar yang ganas di dunia dan aktif memburu mangsa terutama pada waktu malam.
Di Sungai Selangor sudah banyak rekod gambar dan video tangkapan BEM yang dimuat turun di media sosial oleh pemancing.
Malah, ada yang panjangnya hampir sama tinggi orang dewasa dan berat sehingga melebihi 30kg seekor.
Sebenarnya banyak lagi spesies asing yang mengancam perairan negara kita seperti bandaraya, peacock bass, udang kara air tawar, arapaima, beberapa jenis cichlid dan aligator gar.
Namun, BEM menduduki ranking teratas ikan asing paling memberi ancaman ketika ini.
Sebagaimana pendatang asing tanda izin (PATI) digempur Jabatan Imigresen Malaysia, begitu juga dengan BEM cuba dikurangkan populasinya oleh DOF sendiri serta komuniti pemancing.
Di beberapa negeri, DOF menganjurkan pertandingan memancing BEM seperti baru-baru ini di Sungai Jelai, Lipis, Pahang yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri. Sang juara berjaya menaikkan seekor BEM yang beratnya 20.6kg.
Pertandingan itu bertujuan memberi kesedaran bahaya, sekali gus menghapuskan populasinya yang mengganggu ekosistem Sungai Pahang sehingga mengakibatkan penurunan mendadak tangkapan baung gantang, jengkua, tengalan, lampam sungai serta kerai di kawasan itu.
Penulis berpandangan, operasi pembasmian menangkap BEM ini perlu dilakukan terus menerus terutama membasmi induknya.
Jika dapat ikan ini, tolong jangan lepaskannya semula ke sungai. Jadikan ia hidangan atau jual di pasar tani. Dengan langkah ini dapat mengurangkan populasi ikan ini terutama jika berjaya mendapat induknya.
Seterusnya, meningkatkan kesedaran melalui kempen kesedaran berterusan agar komuniti di sepanjang sungai untuk terus menangkap ikan ini.
Buat DOF, segerakan pengukuhan langkah kawalan dan perundangan supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang sengaja atau cuai melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah penyunting Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!