Kalau suara bagus, tak perlu struggle buat persembahan berbahaya
BARU-baru ini, Merak Jalanan sempat berbual-bual kosong dengan seorang kawan di sebuah kedai mamak.
Kawan Merak Jalanan ini mempunyai kemahiran bermain alat muzik dan mencipta lagu, tapi tidaklah popular. Cuma kadang-kadang mengisi masa lapang jamming di studio dan memenuhi undangan main band untuk majlis kahwin.
Sedang seronok berbual, ada satu isu yang menarik perhatian untuk difikirkan. Kawan Merak Jalanan ini bercerita pasal dunia hiburan tempatan masa kini.
Katanya, jika dahulu, artis buat persembahan dengan mengawal suara agar lagu didendangkan sedap didengar. Tapi sekarang ramai yang struggle di atas pentas nak tunjuk hebat, walaupun suara ‘ke laut’.
Merak Jalanan pada mulanya tak berapa faham apa nak disampaikan, tapi rupa-rupanya ia merujuk kepada sebuah rancangan hiburan yang menampilkan artis tempatan dengan persembahan luar biasa.
Sampai panjat sana-sini, melompat-lompat, malah ada yang beraksi tergantung. Difahamkan, rancangan itu adaptasi siri hiburan dari luar negara.
Bagi Merak Jalanan, mungkin itu cara stesen TV nak tarik rating penonton. Tapi ada benarnya kata kawan itu. Jika dahulu, orang menonton rancangan hiburan di TV untuk menghayati lagu-lagu dinyanyikan.
Tapi sejak akhir-akhir ini, banyak rancangan hiburan berbentuk pertandingan lebih cenderung menampilkan artis dengan persembahan di luar kemampuan sehingga membahayakan.
Kalau tersalah langkah, pasti berlaku kejadian yang tidak diingini.
Bagi Merak Jalanan, kalau seseorang artis itu bagus, tidak perlu terlalu bawa showmanship sebegitu. Cukup dengan suara yang sedap didengar untuk dipersembahkan kepada orang ramai.
Merak Jalanan percaya, artis yang mempunyai suara bagus akan lebih bertahan lama berbanding yang sekadar hebat membuat ‘sarkas’ di atas pentas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!