PRK Sungai Bakap: PN kekalkan calon daripada Pas

Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu pejabat PN di Kuala Lumpur pada Selasa.
Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu pejabat PN di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan mengekalkan calon daripada Pas untuk bertanding bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman mengenai calon itu akan dibuat pada 15 Jun ini.

"Dahulu pun Pas yang bertanding, jadi ia kerusi Pas dan kita akan kekalkan kerusi tersebut kepada Pas.

“Pas akan menamakan calon yang akan bertanding di sana dan bagi kita ia juga calon PN.

"Kita akan umumkan calon pada 15 Jun. Selepas itu, calon akan diberikan perakuan (watikah) untuk bertanding di bawah PN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat PN di sini pada Selasa.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan pemimpin tertinggi yang lain.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu kerana mengalami keradangan dalam perut.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri juga merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!