8,900 hektar sawah padi musnah akibat kemarau
KOTA BHARU - Jawatankuasa Penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi Peringkat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melaporkan kira-kira 8,900 hektar sawah padi mengalami kemusnahan akibat musibah kemarau.
Pengerusinya, Muhammad Husain Ismail berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan kerugian yang ditanggung pesawah membabitkan enam jajahan di bawah KADA berjumlah RM58 juta.
Sehubungan itu katanya, KADA telah membentangkan satu laporan dan cadangan bantuan kepada Jabatan Pertanian negeri Kelantan untuk mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan.
"Kerosakan akibat bencana kemarau dimaklumkan oleh pesawah sejak Mac lalu dan kita memandang serius perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mengambil kira situasi pesawah yang menghadapi keadaan sukar selepas mengalami banyak kerugian.
Jelas beliau, peruntukan bantuan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban pesawah sebelum memulakan musim penanaman baharu.
"Kita cuba mencari kaedah terbaik yang boleh membantu pesawah menghadapi kerugian yang ditanggung," katanya.
Sebelum ini media melaporkan sawah padi di Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Utara antara yang terjejas teruk dan banyak yang tidak dapat diselamatkan akibat kemarau.
Pelbagai usaha dilakukan pesawah terbabit termasuk membina telaga tiub selain melaksanakan solat istiqa di setiap kawasan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!