Jenazah pendaki Gunung Denali tiba Sabtu ini
SHAH ALAM - Jenazah peserta Ekspedisi Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat, Allahyarham Zulkifli Yusuf, 37, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Sabtu ini melalui penerbangan Korean Airlines.
Kelab Jelajah Alpine Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, jenazah yang diterbangkan pulang ke Malaysia pada Rabu, jam 7.15 pagi waktu tempatan itu melalui penerbangan transit di Los Angeles dan Incheon, Korea.
"Sejurus tiba, jenazah akan dibawa ke Masjid Al Mahmudiah Kampung Temerlok, Trong, Taiping Perak dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor.
"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Konsulat General Malaysia di Los Angeles yang membantu menguruskan kepulangan Allahyarham.
"Kami mohon agar rakan-rakan agar berdoa agar proses membawa pulang jenazah berjalan dengan lancar," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pendaki Malaysia maut manakala dua lagi selamat selepas terkandas selama tiga hari di Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara.
Allahyarham Zulkifli disahkan meninggal pada Rabu, jam 6 pagi waktu tempatan disyaki akibat 'high altitude cerebral edema' dan 'hypothermia' semasa berlindung di sebuah gua salji selepas terkandas pada ketinggian 6,190 meter berhampiran puncak gunung berkenaan.
Dia bersama dua lagi rakan iaitu Muhammad Illaham Ishak, 47, dan Zainudin Lot, 47, terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!