Aksi 'superman' di Lebuhraya Guthrie makan diri
SUNGAI BULOH - Aksi 'superman' sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya Guthrie di sini menjerat diri selepas ditahan polis pada Rabu.
Tujuh penunggang motosikal termasuk lima pelajar sekolah itu ditahan pada jam 2.25 pagi oleh sepasukan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi Op Samseng Jalanan.
Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, penunggang berusia 16 hingga 23 tahun terbabit dikesan melakukan aksi 'superman', menundukkan badan, zig-zag dan bersaing sesama sendiri.
"Soal siasat dijalankan mendapati mereka merupakan kenalan rapat yang menetap di sekitar Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.
"Mereka mendakwa melakukan aksi itu sekadar suka-suka bersama rakan yang mempunyai minat dalam aktiviti motosikal," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, polis menyita motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 125Z untuk tindakan lanjut.
Katanya, semua tangkapan dan sitaan motosikal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi itu juga, polis mengeluarkan 34 saman atas pelbagai kesalahan antaranya nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu serta ubah suai struktur.
"Objektif utama operasi ini adalah bagi membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
"JSPT menasihatkan penunggang motosikal supaya memastikan undang-undang serta peraturan jalan raya dipatuhi dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!