Permintaan 30 peratus hasil cukai dikembalikan munasabah - Speaker Johor

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemintaan kerajaan Johor agar sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada negeri ini disifatkan munasabah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tidak salah Johor membuat permintaan khusus itu kerana kerajaan Pusat banyak melayan permintaan Sabah dan Sarawak selama ini.

"Saya sokong permintaan kerajaan negeri agar 30 peratus hasil cukai negeri diberikan balik pada Johor.

"Selama ini kerajaan Pusat banyak melayan permintaan Sarawak dan Sabah. Maka apa salahnya Johor buat permintaan khusus.

"Ini bukan soal Sabah dan Sarawak ada MA63. Ini soal 'keperluan, kebolehan dan empowerment”. Ia tidak lari dari konsep federalisme," katanya dalam muat naik di Facebook pada Rabu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, Johor juga sudah terbukti mampu mentadbir dan bekerjasama selain membawa masuk pelaburan langsung asing langsung (FDI).

"Johor ada 'keperluan' mendesak untuk sistem pengangkutan awam dan infrastruktur canggih. Matlamat Maju Johor 2030 adalah 'real'.

"Kerajaan Johor terbukti mampu mentadbir dan bekerjasama seperti kemasukan FDI dan memulangkan manfaat kepada rakyat Johor.

Artikel Berkaitan:

"Permintaan Johor ini munasabah. Ia mengurangkan birokrasi. Reform (pembaharuan) mesti menyeluruh. Reform 'sistem federalisme' juga penting untuk situasi 'win win' (menang-menang)," katanya yang juga ADUN Rengit.

Pada Selasa, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sekurang-kurangnya 30 peratus dari hasil cukai negeri patut diberikan kepada Johor.

Menurut Onn Hafiz, permohonan yang dibuat sejajar dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail baru-baru ini.

Ahad lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan mencadangkan Johor untuk mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri ini diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar.

Baginda turut bertitah, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri ini demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.

"Kita perlu lihat kepentingan sesuatu agenda itu apa yang memberi manfaat kepada negeri kita. Sampai bila Johor nak jadi pengemis.

"Biar Johor jaga kepentingan negeri kita sebab di Putrajaya, mereka tidak faham sentimen keperluan kita, saya nak tengok yang bangunkan negeri ini anak-anak Johor, bukan orang lain.

"Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dengan ada gabungan ini.

"Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak," titah baginda ketika sesi podcast secara langsung dalam "Program Johor Youth Meet-up" di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!