Remaja 13 tahun selamatkan keluarga daripada rentung

Seorang remaja lelaki menjadi hero apabila menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kejadian di Bukit Bunga, Kampung Jakar di Tanah Merah pada Rabu. Foto JBPM
Seorang remaja lelaki menjadi hero apabila menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kejadian di Bukit Bunga, Kampung Jakar di Tanah Merah pada Rabu. Foto JBPM
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang remaja lelaki digelar hero apabila berjaya menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kejadian di Bukit Bunga, Kampung Jakar di sini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu Muhammad Rezky Abdullah, 13, yang sedang tidur dikejutkan dengan rasa bahang panas pada hujung kakinya.

Ketika itu api sudah menyambar katil, dia kemudian bertindak menjerit mengejutkan semua ahli keluarga yang lain.

Sepupunya, Nur Husnina Md Idrus, 25, memberitahu, Muhammad Rezky tinggal di rumah berusia lebih 56 tahun itu bersama nenek, ibu bapa dan tiga adik beradiknya.

"Saya mengetahui mengenai kejadian ini jam 6.30 pagi dan terus bergegas ke lokasi dari Bukit Bunga.

"Apabila tiba (di lokasi) saya dapati api sudah marak dan semua ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Seramai 12 anggota bomba serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang dan Tanah Merah telah dikerah ke lokasi kejadian. Foto JBPM
Seramai 12 anggota bomba serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang dan Tanah Merah telah dikerah ke lokasi kejadian. Foto JBPM

Menurut Nur Husnina, dia dimaklumkan neneknya, Kamariah Abdulllah, 78, serta bapa saudara terpaksa menyelamatkan diri melalui tingkap kerana api marak terlalu cepat, manakala yang lain keluar melalui pintu serta tidak sempat berbuat apa-apa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebakaran itu menyebabkan mereka hilang tempat berteduh serta dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Perdana turut hangus.

"Kami menganggarkan nilai kerugian berjumlah RM200,000.

"Kini semua ahli keluarga terpaksa menumpang di rumah saudara-mara berhampiran buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Zailan Maarof memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.36 pagi.

Menurut beliau, seramai 12 anggota bomba serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang dan Tanah Merah dikerah ke lokasi.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mangsa boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 162674209086 atas nama Mohamad Shafiq Md Idrus.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!