Kolej Rahim Kajai UKM pertajam kemahiran mahasiswa menyumbang kepada masyarakat
MENERUSKAN khidmat dan sumbangan kepada masyarakat, Kolej Rahim Kajai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menganjurkan program Bakti Siswa Sukarelawan Kajai (BASISKA) yang diadakan di Kampung Rantau Panjang, Temerloh, Pahang penghujung Mei lalu.
Timbalan Pengetua Kolej Rahim Kajai, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman berkata, program selama empat hari itu melibatkan 44 mahasiswa itu bertujuan memberikan pendedahan dan mendorong mahasiswa dalam memberikan sumbangan serta melaksanakan khidmat bakti sosial khususnya kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman.
“BASISKA menjadi platform bagi mahasiswa untuk menunjukkan bakat dan potensi diri mereka serta membuktikan kebolehpercayaan dalam mengatur program-program kesukarelawanan untuk komuniti.
“Program ini juga memupuk sikap bertimbang rasa dan keprihatinan mahasiswa terhadap masyarakat luar bandar bertepatan dengan hasrat universiti yang ingin menyerlahkan nilai TERAS (Talent, Ethics, Revitalise, Agile dan Soul) UKM itu sendiri,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Tambah Zaizul, program kali ke-12 penganjuran oleh Biro Kebajikan dan Keselamatan Kolej Rahim Kajai itu turut mempertajamkan kemahiran sosial dan insaniah mahasiswa serta memupuk sifat kepimpinan dalam diri mereka melalui penglibatan langsung dalam aktiviti sukarelawan bersama masyarakat.
“Konsep keluarga angkat dibawa BASISKA pada kali ini melibatkan lapan keluarga angkat. Mahasiswa akan menjadi anak angkat keluarga ini selama empat hari program berjalan bermula 23 hingga 26 Mei.
“Mahasiswa diingatkan agar menjaga etika serta tingkah laku sepanjang aktiviti bersama masyarakat di sana termasuklah gotong-royong rakyat di masjid dan kubur, rewang, malam kerohanian, senggang saudara, mendaki Lata Woh serta lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan teroka kampung,” jelasnya.
Beliau yang juga Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pengajian Islam UKM menambah, mahasiswa turut menyerahkan sumbangan kewangan dan bahan keperluan asas tajaan Jantzen Water dan Syarikat Faiza Sdn. Bhd. kepada sebahagian penduduk kampung tersebut.
“Secara keseluruhannya misi dan matlamat program ini tercapai selepas melihat ia memberi impak dan kesan positif kepada mahasiswa dan masyarakat setempat.
“Ia sekaligus membuatkan mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan bergaul dengan mereka,” katanya.
Pihaknya turut menzahirkan jutaan penghargaan kepada penduduk Kampung Rantau Panjang atas usaha menjayakan program berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!