Op HUU: 40 ditahan, enam kenderaan disita
![Seorang anggota polis melalukan pemeriksaan ke atas penunggang motosikal menerusi Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya (Op HUU) di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto PDRM](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/06/12/2686578.jpg)
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan 40 tangkapan menerusi Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya (Op HUU) dalam tempoh lapan hari pelaksanaannya di ibu negara sehingga Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, selain kesalahan jalan raya, antara kesalahan yang dikesan adalah membabitkan kes dadah.
Beliau berkata, lapan orang kena tahan (OKT) melibatkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga membabitkan Seksyen 15 ADB 1952, seorang ditahan mengikut Seksyen 6 ADB 1952 manakala lima lagi diberkas bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Selain itu, katanya, seramai 18 individu ditahan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ).
"Bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, polis menahan lima OKT membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK, Seksyen 323/18A KK serta Seksyen 302 KK.
![Antara kenderaan ditahan pihak polis kerana melakukan kesalahan lalu lintas menerusi Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya (Op HUU) di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto PDRM](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/06/12/2686579.jpg)
"Jumlah keseluruhan operasi yang dijalankan di bawah Op HUU adalah sebanyak 156," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sarifudin berkata, operasi yang dijalankan adalah melibatkan kesalahan penggunaan telefon bimbit, operasi motosikal, had laju, kenderaan perdagangan serta Op Halangan.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan sitaan kenderaan adalah sebanyak enam buah iaitu lima buah motosikal serta sebuah lori.
Tambahnya lagi, jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan oleh PDRM sebanyak 24,403.
Katanya, daripada jumlah saman tersebut, kesalahan melibatkan halangan lalu lintas adalah paling tinggi dengan 18,209 saman, diikuti kenderaan diletakkan di laluan pejalan kaki (1,358 saman) dan tiada lesen memandu membabitkan warga tempatan (764 saman).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!