Sindiket jenayah ambil kesempatan ketika Aidiladha

Kawalan dan rondaan di perairan negara khususnya di kawasan titik panas akan dipertingkatkan dalam usaha untuk memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.
Kawalan dan rondaan di perairan negara khususnya di kawasan titik panas akan dipertingkatkan dalam usaha untuk memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan terdapat sindiket yang mengambil kesempatan melakukan jenayah rentas sempadan pada musim Hari Raya Aidiladha ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, susulan itu rondaan dan kawalan dipertingkatkan bagi memastikan tiada sebarang cubaan penyeludupan atau pencerobohan serta lain-lain jenayah berkaitan melalui jalan laut di perairan negara sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, penjenayah beranggapan penguat kuasa bercuti sempena perayaan, jadi mereka dijangka mengambil kesempatan itu untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

"Susulan itu, kawalan dan rondaan di perairan negara khususnya di kawasan titik panas akan dipertingkatkan dalam usaha untuk memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin.

"Langkah ini secara langsung untuk melindungi sumber perikanan negara daripada dieksploitasi secara haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 45 aset milik agensi dengan lebih 800 pegawai serta anggota diarahkan melakukan rondaan di seluruh perairan negara.

"Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (carilamat) turut bersiap siaga sekiranya terdapat sebarang insiden berlaku di laut.

"Ini sebagai persediaan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini melibatkan kapal atau bot penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota Maritim Malaysia mempertingkatkan rondaan termasuk melibatkan pemeriksaan bot-bot di perairan negara.
Anggota Maritim Malaysia mempertingkatkan rondaan termasuk melibatkan pemeriksaan bot-bot di perairan negara.

Menurutnya, komuniti maritim, termasuk nelayan dan pengusaha bot diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Komuniti maritim turut dinasihatkan agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak Maritim Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Saiful berkata, pihaknya mencatatkan sejumlah 110 kes tangkapan bagi pelbagai kesalahan di seluruh negara pada bulan yang sama tahun lalu.

"Maritim Malaysia akan terus komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!