Genap 57 tahun Malaysia guna mata wang ringgit
SHAH ALAM - Hari ini genap 57 tahun negara menggunakan ringgit secara rasmi sebagai nilai tukaran antarabangsa bagi menggantikan Dolar Malaya dan British Borneo selepas 10 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Arkib Negara Malaysia memaklumkan, nilai mata wang baharu yang diperkenalkan pada 1967 itu tidak berubah dan tetap teguh di dalam serta luar negeri.
"Perbezaan antara mata wang baharu dan lama hanya dari segi grafiknya.
"Wang baharu ini menukarkan wang lama dengan kadar yang sama iaitu 1 Dollar Malaya bersamaan RM1 wang baharu," menurutnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Arkib Negara menjelaskan, keteguhan nilai mata wang Malaysia disebabkan kekuatan ekonomi negara termasuk kedudukan wang hasil dalam negeri dan simpanan pertukaran wang luar yang besar.
Menurutnya, wang baharu tiba di Malaysia melalui Port Swettenham, Klang, Selangor dari London, United Kingdom dengan langkah kawalan keselamatan yang rapi dan ketat.
Ia kemudian disimpan di Pejabat Matawang, Bank Negara Malaysia (BNM) di Batu Tiga, Shah Alam.
"Wajah Yang di-Pertuan Agong Pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad tertera di setiap muka hadapan wang kertas bernilai RM1, RM15, RM10 dan RM100.
"Gambar bangunan Parlimen, bulan dan bintang berbucu 13 pula tertera pada wang syiling bernilai 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen," jelasnya.
Penggunaan mata wang baharu Malaysia itu telah diumumkan Menteri Kewangan ketika itu, Tan Siew Sin di Bilik Gerakan Negara, Kuala Lumpur.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!