Penarikan subsidi diesel beri kesan ekonomi, kadar inflasi - Pas Selangor
SHAH ALAM - Penarikan subsidi diesel oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana yang dijangka membawa kesan besar terhadap ekonomi dan kadar inflasi dalam negara ini.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, sebelum ini kenaikan harga minyak pernah berlaku pada tahun 2010 di bawah kerajaan Barisan Nasional dengan kenaikan sebanyak 5 sen seliter.
Ujarnya, kenaikan pada skala sekecil itu sahaja pun telah melonjakkan Indeks Harga Pengguna dan Pengeluar masing-masing pada kadar 3.5 peratus dan 14.3 peratus pada waktu itu.
"Hari ini kerajaan PH pula menghidangkan rakyat dengan kenaikan yang jauh lebih besar iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 bagi setiap liter diesel (55.8 peratus) menjadikan harga bahan api itu kini dijual pada harga RM3.35 setiap liter.
"Kenaikan harga diesel dalam skala sangat besar dan secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan kepada sektor ekonomi dan sosial lain," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ab Halim berkata, kesannya telah mula dirasakan di seluruh negara pada ketika ini dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terpandu di semua sektor ekonomi.
Menurutnya, subsidi diesel oleh kerajaan sebanyak RM200 melalui Budi Madani pula dilihat tidak jelas kaedah pelaksanaannya dengan meninggalkan banyak perincian yang mengakibatkan keciciran agihan subsidi ini kepada golongan rentan seperti petani dan pesawah yang terkeluar daripada julat kelayakan untuk memohon subsidi ini.
"Sekiranya tindakan kerajaan PH adalah murni untuk mengelak penyeludupan, ketirisan diesel bersubsidi dan pemberian subsidi diesel secara bersasar kami menggesa agar kerajaan PH mengkaji semula langkah ini dan memperkenalkan kaedah yang lebih berfokus untuk dilakukan secara berperingkat.
"Selain itu kerajaan juga perlu memastikan agar sebarang mekanisme yang dirangka bagi tujuan tersebut lengkap sebelum dilaksanakan supaya tidak menzalimi rakyat Malaysia," ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan PH dilihat tidak acuh terhadap kesan besar melanda rakyat dan negara akibat daripada tindakan drastik penarikan semula subsidi diesel ini yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan kesukaran rakyat.
"Kerajaan PH sedang menjerumuskan negara dan rakyat ke dalam lubang krisis ekonomi yang sangat besar," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!