Pandemik Covid-19 antara punca calon SPM gagal Matematik

Hampir 50 peratus soalan dalam kertas 1 Matematik SPM adalah daripada topik-topik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga menyebabkan calon gagal untuk menjawab soalan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zainol Abidin
Hampir 50 peratus soalan dalam kertas 1 Matematik SPM adalah daripada topik-topik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga menyebabkan calon gagal untuk menjawab soalan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Zainol Abidin
A
A
A

ALOR SETAR - Pandemik Covid-19 yang melanda negara pada penghujung tahun 2019 menjadi punca kepada kegagalan hampir 86,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Matematik.

Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, selepas kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan semua pelajar diarahkan menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, pelaksanaan PdPR berlangsung dalam tempoh yang agak panjang dan ketika itu calon SPM 2023 berada di Tingkatan Dua serta Tiga.

"Pembelajaran dijalankan secara dalam talian sedangkan subjek Matematik perlu penerangan konsep, latih tubi dan pemantauan guru secara fizikal," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, faktor-faktor itu menyebabkan calon gagal untuk menjawab soalan ketika SPM memandangkan hampir 50 peratus soalan dalam kertas 1 Matematik SPM adalah daripada topik-topik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.

"Lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan menguatkuasakan pemansuhan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang menyebabkan pelajar hanya belajar sambil lewa tanpa ada sasaran untuk hadapi peperiksaan.

" Apabila tiba tahun untuk menghadapi SPM, mereka hanya tumpukan pada topik dalam Tingkatan Lima sahaja, sedangkan topik Tingkatan Lima hanya ada 20 peratus sahaja dan pelajar perlu sedar bahawa SPM itu bermula dari Tingkatan Satu," jelasnya.

Zainol Abidin yang juga tenaga pengajar teknik menjawab Matematik SPM berkata, kegagalan subjek Matematik yang merangkumi lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan calon SPM 2023 ini akan menyukarkan negara melahirkan generasi cerdik AI dan Revolusi industri 4.0 dan 5.0.

Artikel Berkaitan:

"Bidang teknologi dan inovasi ini memerlukan warga pelajar yang hebat dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Jika semakin ramai pelajar gagal Matematik, hasrat terbabit mungkin akan terkubur," katanya.

Oleh itu, jelasnya, semua pihak perlu memainkan peranan bagi memantapkan generasi kini menguasai subjek-subjek yang kritikal terbabit.

"Kaunselor sekolah perlu lebih agresif dalam menetapkan hala tuju pelajar, dan guru-guru perlu beri pendedahan betapa penting subjek Matematik dalam pendidikan digital dan kerjaya di masa hadapan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!