Cabaran dakwah, ustaz hampir diparang, dihalau keluar kampung

Perkembangan syiar Islam di Kampung Lalang menjadikan anak-anak mula mengutamakan pendidikan sekali gus dapat menjamin masa depan lebih baik kepada keluarga masing-masing. Gambar kecil dari kiri: Uda, Norali
Perkembangan syiar Islam di Kampung Lalang menjadikan anak-anak mula mengutamakan pendidikan sekali gus dapat menjamin masa depan lebih baik kepada keluarga masing-masing. Gambar kecil dari kiri: Uda, Norali
A
A
A

IPOH - Berdepan ugutan pukul dan hampir diparang, malah pernah dihalau keluar dari kampung.

Semua cabaran itu dijadikan pembakar semangat buat pendakwah, Muhammad Asrul Harun, 39, menjalankan amanah menyebarluaskan agama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli Kampung Lalang dekat Simpang Pulai di sini sejak 14 tahun lalu.

Usaha dakwah dicetuskan Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di bawah program kampung angkat itu ternyata memberi makna besar apabila lebih 90 peratus penduduk di perkampungan berkenaan diislamkan.

Muhammad Asrul ketika mengendalikan kelas dewasa di perkampungan Orang Asli Kampung Lalang, Simpang Pulai.
Muhammad Asrul ketika mengendalikan kelas dewasa di perkampungan Orang Asli Kampung Lalang, Simpang Pulai.

Muhammad Asrul yang menerima pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata, tempoh lima tahun pertama dilalui dalam keadaan sukar kerana rata-rata penduduk di situ menganut agama Kristian dan Bahai.

Menurutnya, cabaran lebih besar apabila perkampungan yang didiami hampir 200 penduduk suku kaum Semai dan Temiar itu menganggap Islam adalah agama yang asing dan sukar diterima.

Ujar beliau, penolakan terhadap dakwah dibawa hinggakan ada keluarga yang sanggup berpindah keluar dari kampung.

"Peristiwa ini berlaku dahulu kerana tidak bersetuju dengan hasrat anak lelaki keluarga berkenaan yang ketika itu berusia 14 tahun untuk menjadi saudara baru Islam.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja saya hampir diparang, tetapi isu ini juga membawa kepada mesyuarat panjang selama tiga hari bersama penduduk kampung yang berakhir kepada keputusan keluarga tersebut untuk berpindah.

"Kejadian ini memberi kesan kepada saya kerana ketika itu masih lagi baharu dalam dunia dakwah," katanya ketika ditemui sempena lawatan Presiden KBGK, Muhammad Hamzah Md Hamdan di sini Isnin lalu.

Muhammad Hamzah menyantuni seorang murid sempena program kembali ke sekolah yang diadakan di Kampung Lalang, Januari lalu.
Muhammad Hamzah menyantuni seorang murid sempena program kembali ke sekolah yang diadakan di Kampung Lalang, Januari lalu.

Anak kelahiran Selama itu berkata, kejadian sama juga dihadapi apabila sebuah keluarga menentang kemasukan Islam seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Bagaimanapun katanya, berkat kesabaran dan kesungguhan mempertahankan syahadah remaja berkenaan, membuka hati keseluruhan keluarga termasuk ibu bapanya menerima dan masuk Islam.

"Kita tidak hanya mengislamkan selepas itu meninggalkan, tetapi pendekatan kita dengan mengislamkan dan kekal dalam komuniti mereka, menganggap saudara baharu sebagai ahli keluarga.

"Selain memberi ilmu berkenaan Islam dan ibadat, kita juga membina hubungan rapat dengan mereka termasuk komuniti yang masih belum memeluk Islam," katanya.

Muhammad Asrul yang turut berperanan sebagai guru agama memberitahu, orientasi dakwah di kampung itu dilakukan secara berterusan menerusi kelas pengajian melibatkan pembelajaran fiqah, sirah, akidah, ibadah, tajwid dan tilawah al-Quran menggunakan modul disediakan JAIPk.

Katanya, kemudahan surau dan kelas yang disediakan di kampung itu membolehkan kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) bagi murid tahun 1 hingga 6 dilaksanakan setiap Isnin hingga Jumaat manakala kelas dewasa tiga hari seminggu.

"Pada awal dahulu memang ramai yang culas datang ke kelas sampaikan saya perlu pergi ke rumah dan pujuk rayu mereka. Begitu juga setiap kali waktu solat, saya ketuk pintu setiap rumah untuk mengajak mereka berjemaah di surau.

"Tetapi sekarang situasi itu tidak lagi berlaku, daripada tidak kenal al-Quran, sekarang mereka dah tahu membaca, dari tak tahu apa itu solat, mereka rajin dan tidak lagi meninggalkan solat.

"Malah sepanjang bulan puasa, penduduk Islam di sini melakukan solat sunat tarawih lapan rakaat sehingga akhir Ramadan," katanya.

Orintasi dakwah dilakukan secara berterusan menerusi kelas pengajian melibatkan pembelajaran fiqah, sirah, akidah, ibadah, tajwid dan tilawah al-Quran menggunakan modul disediakan JAIPk.
Orintasi dakwah dilakukan secara berterusan menerusi kelas pengajian melibatkan pembelajaran fiqah, sirah, akidah, ibadah, tajwid dan tilawah al-Quran menggunakan modul disediakan JAIPk.

Beliau berkata, selepas melalui tempoh 14 tahun ini, dirinya mampu menarik nafas lega apabila anak-anak muda di kampung itu yang dahulunya bermula dengan hanya belajar huruf jawi, sudah mampu memimpin orang kampung mereka dengan menjadi imam, bilal dan guru agama.

"Bagi saya, itulah kemanisan dalam berdakwah. Apabila khidmat saya sudah tiada nanti, sekurang-kurangnya akidah dan ibadah penduduk di sini terbela dan terjaga," katanya.

Tok Batin Kampung Lalang, Uda Osman berkata, sejak syiar Islam berkembang di kampung berkenaan, kebajikan penduduk semakin meningkat.

Katanya, anak-anak muda mula mengutamakan pendidikan sekali gus dapat menjamin masa depan lebih baik kepada keluarga masing-masing.

"Boleh dikatakan kami tidak pernah ketinggalan dalam apa juga bentuk bantuan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang memberi manfaat kepada penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha KBGK, Norali Nordin berkata, di bawah program kampung angkat itu, pihaknya menyediakan peruntukan khas antara RM50,000 ke RM60,000 setahun.

Menurutnya, jumlah itu bagi pembiayaan kelas, tenaga pengajar serta aktiviti kebajikan termasuk projek khas menghantar anak-anak muda melanjutkan pengajian agama ke peringkat lebih tinggi.

"Inisiatif kampung angkat ini bermula sekitar tahun 2010 yang mana presiden ketika itu melihat keperluan menyediakan khidmat ustaz berdasarkan kedudukan populasi masyarakat Orang Asli yang tinggi di sini.

"Alhamdulillah, program ini berjaya dan kunci kepada penerusan aktiviti ini adalah komitmen tinggi ahli-ahli kelab dan kesungguhan ditunjukkan tenaga pengajar," katanya.

Beliau berkata, sempena Aidiladha ini, KBGK akan melaksanakan korban di kampung berkenaan dengan menyediakan dua lembu dan empat ekor kambing.

"Ini memang acara tahunan kita di sini dan daging-daging korban ini juga diagihkan kepada penduduk Orang Asli di kawasan sekitar termasuk yang bukan beragama Islam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!