[VIDEO] Tiada pengakuan bersalah daripada ibu Zayn Rayyan - Peguam

A
A
A

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] “Ibu Zayn Rayyan tidak buat sebarang pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, tetapi dia hanya merekodkan keterangan berhubung kejadian yang berlaku,” kata peguam, Mahmud Jumaat.

Beliau mendakwa, majistret turut merekodkan bantahan peguam terhadap permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan wanita berusia 29 tahun itu, mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Menurutnya, permohonan itu mengejutkan pihak pembelaan memandangkan pengakuan bersalah yang direkodkan pihak polis, tidak boleh diterima kecuali dibuat di hadapan majistret.

Peguam ini berkata, anak guamnya yang memakai baju lokap berwarna ungu, dibawa ke mahkamah dan memberi keterangan selama satu jam.

“Mahkamah dengar permohonan polis, ambil keterangan anak guam kemudian merekodkan bantahan kami, itu sahaja yang berlaku pada hari ini.

“Menariknya, anak guam saya tidak buat pengakuan salah itu, sebaliknya ia lebih kepada memberi keterangan di hadapan majistret,” katanya.

Beliau berkata, jika pengakuan bersalah direkodkan, kenyataan wanita itu boleh digunakan di mahkamah kelak.

Pagi tadi, hanya ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiiin, 6, yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu, dibawa untuk merekodkan keterangan selepas dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah di sini, pada jam 12.50 tengah hari, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

Wanita berkenaan yang memakai baju lokap, dikawal ketat pihak polis di lobi mahkamah sebelum dibawa masuk kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah dengan menaiki van polis pada jam 10.30 pagi sebelum dibawa masuk mahkamah.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!