[VIDEO] Manfaat ikan bandaraya sebagai alternatif makanan ternakan ikan
KUALA PILAH - Kebiasaannya ikan bandaraya dilihat sebagai ikan pemusnah kepada ekosistem sungai kita, namun ia sebenarnya boleh juga memberi manfaat.
Spesis ikan berkenaan boleh diolah untuk dijadikan makanan alternatif kepada ternakan ikan dan ini dilakukan oleh seorang bekas jurutera mekatronik terhadap ternakan ikan tilapianya di Tanjung Ipoh dekat sini sejak dua bulan lalu.
Hasilnya, Heidi Shafiq Haidzir, 38, mampu mengurangkan kos 70 peratus untuk membeli makanan ikan.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, semuanya bermula selepas dia mengikuti komuniti pemburu ikan terbabit sejak lima tahun lalu.
"Biasanya selepas spesis ikan pemusnah itu ditangkap, mereka akan lupuskan dengan cara menggali lubang untuk menanamnya.
"Dari situ saya terfikir daripada dilupuskan macam itu, kenapa tidak dilupuskan secara industri dengan menghasilkannya sebagai makanan ikan," katanya.
Tambahnya, idea itu timbul selepas dia mengikuti kursus pembuatan makanan ternakan di Semenyih, Selangor dan kemudiannya cuba melakukan eksperimen sendiri.
Ujarnya, ikan tersebut dihancurkan terlebih dahulu dengan mesin pengisar daging dan kemudian dicampurkan dengan dedak anak ayam, dedak padi dan telur ayam.
"Dedak ayam digunakan untuk tingkatkan bau bagi menarik ikan untuk makan dan dedak padi pula sebagai sumber protein.
"Kemudian kita gaulkan sehingga sebati dan saya akan letakkan EM atau disebut sebagai bakteria baik yang berfungsi menguraikan unsur-unsur dalam makanan itu serta dapat membantu penghadaman ikan yang pada masa sama berfungsi sebagai probiotik untuk ikan,"katanya.
Tambahnya, ia kemudiannya akan disimpan dalam peti sejuk supaya menjadi mampat dan akan bungkus satu kilogram setiap plastik.
Jelasnya lagi, makanan yang telah dibekukan akan diberi terus kepada ternakan ikannya tanpa perlu dicairkan.
"Ia bagi mengelakkan makanan itu berlendir yang akan menyebabkan kualiti air kolam terjejas.
"Saya akan beri makanan ini secara bergilir-gilir dengan makanan ikan biasa dan itu membolehkan saya kurangkan kos bagi pembelian makanan kira-kira RM40,000.
"Buat masa ini, saya tak terfikir lagi nak jual makanan ikan yang dihasilkan ini dan ia hanya untuk kegunaan sendiri bagi keperluan kira-kira 40,000 ternakan ikan tilapia saya," katanya.
Selain itu katanya, dia dalam proses perbincangan dengan Jabatan Perikanan Selangor dan beberapa pelabur untuk menghasilkan produk makanan ikan tersebut.
Heidi berpendapat, penternak ikan lain boleh menggunakan cara sama dan ia merupakan makanan alternatif yang murah.
"Ia ditambah pula ikan bandaraya itu mudah dapat terutama di sungai sekitar Lembah Klang.
"Kita bukan sahaja boleh menyelamatkan ekosistem sungai kita malah pada masa sama dapat jimatkan kos ternakan, "katanya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!