Jangan ada pusingan U laksana rasionalisasi subsidi bahan api - CAP

Bermula 10 Jun, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohideen
Bermula 10 Jun, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Dasar rasionalisasi subsidi bahan api mesti dilaksanakan dan tidak perlu ada pusingan U walaupun ada tekanan daripada pihak berkepentingan serta kumpulan politik.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu bertindak tegas apabila melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular tetapi dalam jangka panjang akan menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, tindakan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar untuk diesel adalah langkah yang tepat.

"Subsidi adalah untuk mereka yang memerlukan dan bukan kepada semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka. Dengan melaksanakan dasar rasionalisasi ini, kerajaan akan memperoleh RM4 bilion untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial.

"Penerima subsidi mesti dipantau supaya selepas satu tempoh, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri dan tidak bergantung kepada pemberian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, bermula 10 Jun, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung.

Tambah Mohideen, pelaksanaan dasar tersebut perlu dipantau rapi bagi memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan.

"Subsidi mesti diberikan kepada individu, kumpulan dan perniagaan yang disasarkan serta tidak diganggu dengan unsur rasuah. Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan hendak lah diatasi dengan segera dan diperbetulkan.

Artikel Berkaitan:

"Perlu ada jabatan khusus di kementerian berkaitan untuk memantau pelaksanaan, menangani masalah serta aduan daripada pihak yang terlibat," katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya memantau harga barangan dan perkhidmatan bagi mengelakkan berlakunya pencatutan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada pemansuhan subsidi diesel.

"Menurut pakar ekonomi, pemansuhan subsidi itu akan memberi kesan minimum kepada kos dalam perniagaan. Oleh itu, tiada justifikasi untuk menaikkan harga. Tindakan tegas mesti diambil terhadap pencatut termasuk mendakwa dan membatalkan lesen mereka.

"Berdasarkan hasil yang diperoleh daripada melaksanakan penghapusan subsidi diesel, langkah seterusnya perlu rasionalisasi subsidi petrol RON 95 yang akan menghasilkan penjimatan yang lebih besar kepada kerajaan.

"Kumpulan yang terjejas oleh dasar rasionalisasi bahan api ini boleh diberi bantuan kewangan untuk menampung kos yang meningkat," tambahnya.

Mohideen berkata, harga petrol bersubsidi RON 95 di Malaysia adalah paling murah dalam kalangan sembilan negara anggota ASEAN.

"Harga petrol di Malaysia ialah 47.44 peratus lebih rendah daripada Indonesia (RM3.90) dan 54.24 peratus lebih rendah daripada Vietnam (RM4.48).

"Dengan penjimatan subsidi bahan api, kerajaan harus menambah baik pengangkutan awam yang secara amnya kurang di negara ini selain memastikan perkhidmatan yang kerap serta sistem bas pengantara yang cekap untuk kemudahan lebih baik kepada penumpang.

"Ini akan mengurangkan bilangan kereta persendirian di jalan raya yang membawa kepada penjimatan tenaga dan mengurangkan pencemaran alam sekitar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!