Kita patut berbangga - Paulo Josue
HARIMAU Malaya sepatutnya berbangga dengan pencapaian yang diperolehi biarpun gagal untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue berkata, skuad negara berjaya mengutip 10 mata yang sepatutnya mencukupi untuk layak ke pusingan seterusnya berdasarkan mata yang diperolehi oleh pasukan lain di kedudukan kedua dalam kumpulan berbeza.
"Saya rasa kita patut bangga dengan kempen kali ini apabila kita berjaya kumpul 10 mata dalam kumpulan. Kebanyakan pasukan lain dalam kumpulan berbeza yang turut kumpul 10 mata berjaya berada di kedudukan kedua dan layak.
"Namun, ia adalah di luar kawalan. Kita perlu berbangga dan terus bekerja keras untuk cabaran seterusnya," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Skuad negara menamatkan aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di kedudukan ketiga dengan 10 mata di belakang Kyrgyzstan (11 mata) dan juara kumpulan, Oman (12 mata).
Ia sekali gus menyaksikan Harimau Malaya gagal mara ke pusingan ketiga Piala Dunia dan perlu beraksi pada pusingan seterusnya kelayakan untuk mara ke Piala Asia 2027.
Beberapa pasukan lain di kedudukan kedua seperti Kuwait dalam Kumpulan A hanya memungut tujuh mata, Korea Utara dalam Kumpulan B (9 mata), China dalam Kumpulan C (8 mata) dan Palestin Kumpulan I (8 mata) berjaya layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!