'Kami sepatutnya boleh jaringkan 5 atau 6 gol' - Gary White
PENGENDALI Taiwan, Gary White percaya pasukannya berhak untuk meraih lebih banyak gol di sebalik keputusan tewas 1-3 kepada Malaysia dalam aksi terkahir Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Menurutnya, Taiwan berjaya memanfaatkan sikap agresif skuad negara yang terlalu rakus menyerang pada separuh masa pertama, namun ketumpulan jentera serangan pasukan menafikan lebih banyak gol tercipta.
"Kami sangat baik dari segi taktikal dan tahu mereka akan menyerang jadi ada ruang di belakang mereka.
"Kami berlatih untuk memanfaatkan poket di belakang pemain tengah Malaysia. Secara taktikalnya semua sempurna tetapi dari segi penyudah ia kurang berkesan.
"Kami sepatutnya jaringkan lima atau enam gol tetapi tidak berjaya dan pemain perlu belajar daripada kesilapan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam pada itu, White turut mengakui kualiti yang dimiliki pasukan negara dan percaya Malaysia mempunyai masa depan bola sepak yang cerah.
"Ia pertarungan yang bagus dan Malaysia mempunyai jurulatih dan pemain yang berkualiti. Kualiti membezakan antara pasukan kami dan Malaysia hari ini," katanya.
Taiwan menamatkan saingan Kumpulan D di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata dan turut akan mengharungi pusingan kelayakan untuk layak ke Piala Asia 2027.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!