[VIDEO] Pemuda didakwa libas abang dengan parang

A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu atas pertuduhan melibas abang kandungnya dengan parang, pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Tuah Md Dali, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap abang kandung, Muhammad Redza Md Dali,34, dengan menggunakan sebilah parang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, di sini, kira-kira jam 8.40 malam pada 5 Jun lalu.

Muhammad Tuah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Muhammad Tuah (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Pendakwaan bagi pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 362(A) kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen sama.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan berjumlah RM30,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta mohon syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang memakai berbaju kurta coklat memohon jaminan rendah dengan alasan dia hanya bekerja kampung.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat yang dipohon oleh pihak pendakwaan selain menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan seorang adik tergamak melibas abang kandungnya dengan sebilah parang selepas mangsa dipercayai menghalangnya menggunakan motosikal dalam kejadian di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, di sini pada malam Rabu.

Kejadian lebih kurang jam 8.47 malam, menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai peniaga, mengalami kecederaan putus urat jari tangan kiri selepas terkena libasan parang sepanjang 0.45 meter.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata, sebelum kejadian mangsa telah hadir ke Balai Polis Kuala Sungai Baru dan memaklumkan adiknya berusia 27 tahun telah mengamuk dan memukulnya dengan sebatang kayu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!