Penjawat awam ditahan ambil suapan syarikat pembalakan RM15,000
KOTA KINABALU - Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM15,000 daripada sebuah syarikat pembalakan.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah di sini kira-kira jam 10 pagi Rabu.
Siasatan awal mendapati, suspek melakukan kesalahan itu pada September 2019 kerana meminta wang rasuah kira-kira RM30,000 dan telah menerima kira-kira RM15,000 daripada syarikat pembalakan tersebut.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan untuk meringankan impak laporan kesalahan aktiviti pembalakan haram.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
"Suspek dilepaskan dengan wang jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa yang terdekat," katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan kepada penjawat awam di negeri ini agar tidak terlibat dengan rasuah kerana ia akan merosakkan imej jabatan dan mencerminkan penjawat awam tidak berintegriti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!