Dicekup sebelum sempat edar heroin, pil kuda

Roslan Tahir
Roslan Tahir
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang buruh tidak sempat mengedar dadah jenis heroin dan pil kuda apabila dia dicekup polis di sebuah stesen minyak di Kampung Batu 13, Bukit Jong di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi, lelaki berusia 39 tahun dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, suspek yang cuba melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

"Sejurus ditahan, pemeriksaan menemukan beg kain uncang berisi dua botol serbuk putih disyaki dadah dalam beg berwarna merah yang dipegang suspek.

"Selain itu, turut dijumpai satu beg lagi berzip berwarna coklat berisi dua botol serbuk berwarna putih disyaki dadah.

"Turut ditemukan empat straw berwarna kuning yang setiap satu straw berisi 10 biji pil berwarna merah disyaki dadah sebelum suspek ditangkap dan dibawa ke pejabat JSJN IPK Terengganu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas empat botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 18 gram yang bernilai keseluruhan RM1,280.

"Selain itu, sejumlah 40 biji pil kuda kira-kira seberat 6.63 gram dengan nilai keseluruhan RM400 turut dirampas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roslan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau berkait kes dadah positif dadah jenis morfin.

Jelasnya lagi, suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!