Malaysia seru gencatan senjata berkesan terhadap krisis di Gaza

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sokongan teguh Malaysia terhadap perjuangan Palestin semasa persidangan peringkat tinggi yang bertajuk "Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza " di Jordan.

Beliau menggariskan keperluan bagi gencatan senjata yang berkesan dan berkekalan demi memastikan tindak balas kemanusiaan yang berjaya.

Bercakap pada persidangan yang diadakan di Laut Mati, Jordan pada Selasa, Mohamad menekankan tentang bagaimana genosid di Gaza telah menghalang bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan rakyat Palestin.

"Hakikat yang kejam, masih tiada jaminan untuk penghantaran bantuan yang selamat, terjamin dan tanpa halangan,” katanya.

Beliau menjelaskan serangan udara Israel bukan sahaja menyerang konvoi bantuan Malaysia tetapi juga merobohkan pusat pengedaran, mengakibatkan kematian sukarelawan dan pemusnahan penghantaran bantuan yang menyelamatkan nyawa.

Menteri itu menegaskan serangan kejam ini tidak sesekali menghalang Malaysia daripada mendukung komitmen kemanusiaannya.

"Kita semua boleh bersetuju bahawa adalah mustahil untuk sebarang tindak balas kemanusiaan segera terlaksana tanpa adanya gencatan senjata yang kekal dan berkesan serta penyelesaian politik,” katanya.

Sementara itu, Mohamad juga menyeru negara-negara dan pihak berkepentingan untuk menyokong usaha ikhlas ke arah gencatan senjata termasuk cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat untuk keamanan dan kestabilan. Kami bersolidariti dengan sebarang usaha tulen yang mempromosikan penyelesaian konflik secara damai,” katanya, mengalu-alukan penerimaan Resolusi 2735 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai cadangan tiga fasa oleh AS.

Beliau menjelaskan bahawa tindak balas kemanusiaan yang berjaya untuk Gaza adalah bergantung kepada tiga elemen iaitu menangani punca konflik; mengenakan tanggungjawab ke atas Israel melalui pendekatan reparatif dan pengukuhan mandat kemanusiaan PBB.

"Kita memerlukan tindak balas kemanusiaan yang menyeluruh serta strategi pemulihan dan pembinaan semula yang menangani punca utama iaitu penafian hak menentukan nasib sendiri, pendudukan haram serta kekejaman Israel yang berterusan,” katanya.

Beliau juga berkata hak sedia ada Palestin sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti direalisasikan.

"Sebagai kuasa pendudukan, Israel mesti dipertanggungjawabkan melalui pendekatan reparatif dalam membina semula Gaza dan atas pencabulan besar yang dilakukan ke atas rakyat Palestin,

"Kita mesti memperkukuhkan peranan PBB dalam melaksanakan mandat kemanusiaannya.

"Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mesti diperkasa, disokong dan dilindungi untuk membolehkan mereka menyampaikan bantuan kemanusiaan dan merangka pemulihan segera dalam infrastruktur sosial, termasuk perkhidmatan kesihatan dan sokongan psikososial,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia akan meneruskan sokongan kemanusiaannya dan kerajaan Malaysia dengan kerjasama lebih daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebangsaan telah menghantar lebih 5,000 tan bantuan penting ke Gaza. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!