Jangkitan kuman tanah ubah hidup Azlan, keluarga

Azlan berkerusi roda dan Norhadijah (kiri) ketika menerima sumbangan yang disampaikan Mohammad Ahmad Shazly (dua dari kiri) bersama Sabariah (dua dari kanan) baru-baru ini.
Azlan berkerusi roda dan Norhadijah (kiri) ketika menerima sumbangan yang disampaikan Mohammad Ahmad Shazly (dua dari kiri) bersama Sabariah (dua dari kanan) baru-baru ini.
A
A
A

BERA - Kesan jangkitan kuman tanah atau melioidosis menyebabkan kehidupan Azlan Ahmad, 43, dari Felda Kumai di sini berubah 360 darjah sejak empat tahun lalu.

Bapa kepada empat cahaya mata itu tidak lagi aktif dan mencari rezeki selepas keadaan fizikalnya merosot serta terpaksa menggunakan kerusi roda.

Isterinya, Norhadijah Abdol, 41, berkata, suaminya yang bekerja kampung itu tidak boleh berdiri lama kerana keadaan badannya masih lemah akibat kesan jangkitan kuman terbabit.

"Suami sebelum ini banyak buat kerja ladang. Bermula demam sekejap-sekejap ia melarat hingga pernah meracau, pengsan sebelum ujian darah dibuat mengesahkan suami terkena jangkitan kuman tanah.

"Sejak itu, keadaan suami berubah dan pernah koma sebulan selain dua tahun hanya terlantar di katil sebelum keadaannya sudah bertambah baik kini cuma memang tidak mampu bergerak banyak macam dulu," katanya kepada Sinar Harian.

Mohammad Ahmad Shazly (enam dari kanan) dan Sabariah (lima dari kanan) dengan sumbangan kerusi roda yang diterima Azlan bersama Norhadijah (tiga dari kiri).
Mohammad Ahmad Shazly (enam dari kanan) dan Sabariah (lima dari kanan) dengan sumbangan kerusi roda yang diterima Azlan bersama Norhadijah (tiga dari kiri).

Keluarga itu antara penerima sumbangan 17 kerusi roda oleh Petronas Wilayah Pantai Timur yang disampaikan oleh Pengurus Besarnya, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan, di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Bera baru-baru ini.

Ujar Norhadijah, buat masa ini suaminya menjalani rawatan secara berjadual di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, selain bergantung bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia juga bekerja sebagai pembantu kedai di pasar dengan pendapatan RM40 sehari untuk menampung kehidupan keluarga.

"Syukur dengan bantuan kerusi roda ini dapat meringankan beban kami selain sedikit sebanyak dapat membantu suami menguruskan diri," jelasnya.

Sementara itu, Mohammad Ahmad berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu daripada komitmen berterusan Petronas dalam aspek kesejahteraan masyarakat.

"Ia diharapkan mampu membantu mempermudahkan pergerakan pesakit-pesakit semasa di rumah serta semasa mendapatkan rawatan di hospital.

"Selain daripada itu, kami berharap, ia juga mampu meringankan ahli keluarga di dalam pengurusan harian pesakit," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!