[VIDEO] Nasib ibu bapa Zayn Rayyan diketahui esok

A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Bebas atau didakwa, nasib ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu akan diketahui di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, reman itu tidak boleh disambung lagi, kerana mahkamah hanya membenarkan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu.

“Khamis merupakan hari terakhir mereka direman, jadi esok adalah keputusannya, saya percaya kertas siasatan sudah dihantar ke pihak AGC (Jabatan Peguam Negara).

“Mereka akan akses, meneliti dan lihat, semua keputusannya diketahui esok sama ada bebas dengan jaminan polis atau dituduh,” katanya.

Justeru beliau menasihati semua pihak supaya bersabar dan menanti perkembangan terbaharu yang akan dikongsi kelak.

Peguam ini menekankan, bahawa mereka sama seperti rakyat Malaysia yang inginkan kanak-kanak istimewa ini terbela dan diberi keadilan.

Ibu kepada Zayn Rayyan dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu selepas menghadiri satu prosiding tertutup berhubung kes pembunuhan kanak-kanak terbabit. Foto Bernama
Ibu kepada Zayn Rayyan dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu selepas menghadiri satu prosiding tertutup berhubung kes pembunuhan kanak-kanak terbabit. Foto Bernama



Dalam pada itu, beliau menafikan sengaja tiba di mahkamah pada satu jam lebih lewat daripada ketibaan ibu kepada Zayn Rayyan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Menurutnya, berita mengenai kehadiran wanita berusia 29 tahun itu hanya diperoleh selepas dihubungi media pada jam 9.30 pagi.

Katanya, selepas berbincang dengan barisan pembelaan lain, mereka bersetuju untuk bergegas ke mahkamah bagi mengikuti sebarang prosiding yang dijalankan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili ibu kepada Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat menyatakan perkara sama berhubung perkembangan yang mungkin berlaku dalam masa kurang 24 jam akan datang.

“Saya mohon orang ramai memberi kerjasama, kita hormati proses siasatan dan esok kita boleh mendengar serta melihat sama ada pertuduhan dibuat atau sebaliknya.

“Jadi saya tekankan, orang ramai tidak boleh menyebar berita tidak benar mengenai pasangan suami isteri itu, sebab terlalu banyak versi yang ketara bercanggah dengan laporan yang diberi kepada pihak polis,” katanya.

Beliau turut mengesahkan, hanya suspek wanita iaitu ibu kepada Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!