Peniaga berputih mata rugi lebih RM100,000 diperdaya tawaran tender kerajaan
KOTA KINABALU - Seorang pemilik kedai alat ganti kenderaan mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai penjawat awam pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang juga pengadu telah menerima mesej daripada aplikasi WhatsApp daripada suspek yang menawarkan tender membekalkan minyak hidraulik kepada jabatan kerajaan.
"Pengadu telah berminat dan bersetuju dengan tender yang ditawarkan itu. Bagi meyakinkan lagi pengadu, suspek telah menghantar dokumen pesanan kerajaan serta surat setuju terima.
"Namun suspek telah memberikan nombor telefon pembekal minyak hidraulik yang beralamat di Kota Marudu bagi memudahkan urusan pengadu kerana pembekal berkenaan pernah membekalkan bahan tersebut ke jabatan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, atas dasar percaya pengadu telah menghubungi nombor tersebut dan menempah sebanyak 58 tong minyak hidraulik.
"Pengadu juga telah membuat bayaran deposit sebanyak RM117,480 ke dalam akaun suspek selepas menerima invois melalui WhatsApp.
"Pengadu dijanjikan bahawa minyak tersebut akan terus dihantar terus ke jabatan berkenaan," katanya.
Bagaimanapun, Kasim berkata, pengadu mula curiga apabila menerima tempahan tambahan daripada individu yang sama sebelum membuat semakan dengan jabatan berkenaan berkaitan tender tersebut dan dimaklumkan bahawa tender itu tidak wujud.
"Oleh itu, pengadu rasa tertipu dan telah membuat laporan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan," katanya.
Kasim dalam pada itu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kota Kinabalu telah menerima 10 laporan berkaitan modus operandi yang sama bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan melibatkan kerugian sebanyak RM662,394.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran tender melalui media sosial dan harus membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang urusan atau membuat pembayaran dengan pihak berkaitan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!