Jangan takut jadi saksi - BPJPM
KOTA BHARU - Individu yang dipanggil untuk menjadi saksi bagi satu-satu kes jenayah tidak perlu takut kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM), Khairul Anwar Zakaria @ Abdul Hamid berkata, akta ini memberikan beberapa mekanisme perlindungan, termasuk kerahsiaan identiti, perlindungan keselamatan dan larangan ke atas pendedahan maklumat yang boleh menggugat keselamatan saksi.
"Sebagai undang-undang, ia memberikan kerangka kerja untuk melindungi saksi-saksi yang berani memberikan keterangan tanpa takut akan ancaman atau gangguan.
"Perlindungan dan bantuan yang diberikan di bawah akta ini adalah tidak terhad kepada saksi sahaja malah meliputi keluarga dan sesiapa jua yang berkemungkinan besar terjejas dan terancam ekoran pemberian maklumat atau keterangan oleh saksi berkenaan terhadap agensi penguatkuasaan dan pendakwaan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau hadir pada Seminar Program Perlindungan Saksi di sini yang dirasmikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Menurut Khairul Anwar, perlindungan terhadap saksi merupakan satu aspek yang kritikal dalam memastikan keadilan dan ketenteraman awam di negara kita.
Ujarnya, saksi-saksi memainkan peranan yang sangat penting dalam proses keadilan dan menjadi tanggungjawab BPJPM untuk memastikan bahawa mereka dilindungi daripada sebarang ancaman atau gangguan yang mungkin timbul.
Tambah beliau, seminar tersebut memberi peluang kepada pihaknya untuk bersama-sama mengkaji strategi dan langkah-langkah terbaik dalam meningkatkan perlindungan terhadap saksi-saksi.
"Dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, kita dapat memperbaiki sistem perlindungan saksi dan memastikan bahawa mereka dapat memberi keterangan tanpa rasa takut atau tekanan
"Rasional perlindungan jangka panjang ke atas saksi dan peserta Program Perlindungan Saksi adalah amat diperlukan berikutan subjektiviti tahap keselamatan saksi terutama selepas sesuatu siasatan itu tamat.
"Kerajaan juga dalam memelihara keselamatan saksi-saksi penting, akan memastikan mahkamah-mahkamah di Malaysia mempunyai bilik-bilik khas yang boleh menempatkan mereka yang dilindungi bagi memastikan keselamatan tidak terjejas," katanya.
Menurut beliau, ini secara langsung dapat menjamin keberkesanan Program Perlindungan Saksi apabila melibatkan sesuatu prosiding perbicaraan di mahkamah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!