6,230 jersi tiruan Euro dirampas

Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan jersi tiruan yang dirampas di Jalan Petaling pada Isnin.
Ariffin (dua dari kiri) menunjukkan jersi tiruan yang dirampas di Jalan Petaling pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 6,230 helai jersi tiruan berjenama bernilai RM450,000 dirampas dalam serbuan di empat buah premis perniagaan dan stor penyimpanan di Jalan Petaling dekat sini pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, hasil maklumat stok jersi tiruan itu diperolehi dari negara luar.

"Kesemua stok ini adalah bagi tujuan penjualan kepada warga asing yang datang ke Jalan Petaling sebagai pelancong dan juga kepada warga tempatan yang meminati sukan bola sepak.

"Permintaan jersi bola sepak amat menggalakkan disebabkan penganjuran Kejohanan Piala Eropah (UEFA Euro 2024) yang akan berlangsung pada 15 Jun hingga 15 Julai di Jerman," katanya ketika sidang akhbar pada Rabu.

Ariffin berkata, para peminat tidak melepaskan peluang untuk membeli jersi bola sepak pasukan kegemaran untuk menambahkan lagi kehangatan temasya sukan berkenaan.

"Kesemua jersi tiruan itu dijual pada harga RM140 sehelai kerana mempunyai kualiti yang tinggi," ujarnya.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, KPDN turut menyita tiga buah mesin dianggarkan RM15,000 yang digunakan untuk menampal logo, nombor jersi serta nama pilihan oleh pembeli.

"Premis itu turut menerima tempahan secara borong daripada peniaga serta menyediakan perkhidmatan pos bagi peniaga yang berada di luar Lembah Klang.

Artikel Berkaitan:

"Premis yang disyaki dimiliki oleh warga tempatan itu telah beroperasi sejak tahun lalu," katanya.

Ariffin berkata, sitaan telah dilakukan oleh KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara Rampasan Tanpa Tuan (RTT) kerana peniaga tiada di premis semasa serbuan dilakukan.

"Kita turut menyiasat pihak terlibat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, statistik kes harta intelek bagi KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini, sebanyak 55 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan berjumlah RM1.6 Juta melibatkan sitaan barangan sebanyak 32,700 unit.

"Bagi jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 5.0 sejak Januari sehingga kini adalah seramai tujuh orang melibatkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek," katanya.

Ariffin berkata, pihaknya mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

"Kita mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil pemilik cap dagangan yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, para pengguna dinasihatkan agar tidak menyokong pembelian serta penjualan jersi tiruan sempena musim Euro 2024.

"Kita memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!