Batu Puteh: Tun M nafi buat keputusan bersendirian
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau membuat keputusan secara bersendirian menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh pada 2018.
Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu, keputusan tersebut dibuat oleh Kabinet pada ketika itu.
"Saya memberi pandangan bahawa kita tidak patut meneruskannya kerana pendapat oleh perunding dan pakar perundangan memaklumkan ia kes yang lemah.
"Kita tidak ada 'peluru' untuk menang," katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Rabu.
Menurutnya, sebagai Perdana Menteri beliau mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan, namun memilih memberi pendapat melalui surat peguam cara.
"Saya tak pernah buat apa-apa keputusan bersendirian, saya juga baca kesemua laporan termasuk laporan kes-kes terdahulu, mereka beri pendapat bahawa kes kita lemah, itu ditulis dalam satu surat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai tempoh masa yang panjang kerana Pentadbiran Persekutuan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
"Kita perlu menghantar keputusan kepada ICJ pada 8 Jun 2018. Sewaktu Kabinet membuat keputusan, tidak ada seorang pun menteri membantah termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Mereka mendengar saya dan mereka tidak berkata tidak kepada idea itu,” katanya.
Tambah Dr Mahathir, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa beliau tidak mendapat pandangan pakar lain berhubung perkara itu tidak benar sama sekali.
"Saya mendapat taklimat daripada perundingan antarabangsa, Brendan Plant dan pegawai perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Azalina tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini," jelas beliau.
April lalu, Azalina berkata, berkata Perdana Menteri (ketika 2018) yang membuat keputusan sembunyi-sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di ICJ.
Beliau mendedahkan, Perdana Menteri itu membuat keputusan bersendirian tanpa sesiapa mengetahuinya, termasuk Peguam Negara yang bercuti ketika itu.
Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa hampir dua jam memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan perkara itu.
RCI dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!