Bersatu serah notis gugur ahli serta-merta enam wakil rakyat hari ini

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Notis terhenti keahlian serta-merta sudah diserahkan kepada enam wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penyerahan notis yang dibuat hari ini selaras arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat pada Selasa.

"Bagi kes Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Ahli Parlimen Labuan) pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan.

"Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan, kesemua proses berkenaan dilakukan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang kerajaan negeri terlibat.

Sebelum ini media melaporkan, enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis MPT parti berkenaan.

Selain Dr Suhaili, mereka yang terlibat ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!