Padah operasi tanpa lesen, pemilik kilang di Teluk Gong dikompaun
KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan sembilan kompaun terhadap dua pemilik kilang di Teluk Gong kerana beroperasi tanpa lesen.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Bangunan dan Jabatan Perancangan Bandar di kawasan Klang Selatan.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, dua premis berkenaan berada di luar zon industri kilang tanpa kebenaran (KTK).
"Dua premis yang menjalankan aktiviti KTK di kawasan Klang Selatan berada di luar zon industri KTK di mana sebuah premis dalam kawasan zon perumahan dan sebuah lagi premis di zon KTK.
"Pemeriksaan mendapati premis (berkenaan) tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan daripada pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang," kata kenyataan itu di laman Facebook MBDK.
Sehubungan itu, MBDK mengeluarkan sembilan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!